Orang Kampung Terpaksa Berendam Dalam Sungai Untuk Iringi Jenazah

Hebahkan !!!
Penduduk kampung terpaksa meredah sungai untuk membawa jenazah ke tanah perkuburan di Kampung Sungai Rotan, Jelebu, semalam untuk dikebumikan.

JELEBU – Meredah air sungai dan risiko dihanyutkan tidak menghalang penduduk serta orang ramai untuk mengebumikan jenazah di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Rotan, di sini.

Ini berikutan jambatan alternatif menghubungkan kampung itu ke tanah perkuburan musnah dalam kejadian banjir pada 18 Disember lalu.

Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias menerusi kenyataan di Facebook miliknya berkata, sebelum itu, pada Mei lalu, sebuah jambatan yang menghubungkan ke tanah perkuburan itu runtuh selepas dilalui lori membawa lebih muatan.

Beliau berkata, peruntukan bagi membina jambatan itu dikeluarkan kerajaan negeri dan kontraktor sudah dilantik, namun sehingga kelmarin, tiada sebarang kerja pembinaan dilakukan.

“Apabila jambatan alternatif turut runtuh, ia kini menjadi satu masalah kepada penduduk kampung untuk ke tanah perkuburan berkenaan.

“Saya amat berharap agar kerajaan negeri dapat menyegerakan pembinaan jambatan baharu supaya masalah serupa tidak dialami penduduk,” katanya.

Jalaluddin berkata, pihaknya akan melakukan segala yang boleh agar jambatan berkenaan segera dibina.

Beliau turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua penduduk kampung yang bekerjasama dan bertungkus-lumus membantu menyempurnakan urusan pengebumian arwah.

Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP), Idzurizad Idris berkata, lebih 50 penduduk kampung bergotong-royong menguruskan jenazah penduduk Kampung Sungai Rotan.

Katanya, paling sukar apabila memastikan keranda yang membawa jenazah tidak basah ketika mengharungi sungai dengan paras air mencecah 0.3 meter.

“Hampir 30 penduduk berada di dalam sungai bagi membolehkan keranda dibawa ke seberang dan tali turut dipasang sebagai langkah keselamatan.

“Alhamdulillah, semua urusan dilakukan selepas solat Isyak berjaya dilaksana dengan kerjasama penduduk dan kami gembira dapat menunaikan hajat isteri arwah yang mahu dikebumikan di kampung halamannya sendiri,” katanya.

Leave a Reply