Hidangan Daging Rusa Di Felda Gedangsa Tarik Perhatian

Hebahkan !!!

Pemilik Anuar Rusa Steak House, Shamsul Anuar Md Ali sedang menguruskan ternakan rusa yang diusahakan di belakang rumah sebagai bahan masakan kedai makannya yang popular dengan pelbagai jenis menu hidangan berasaskan rusa. – Foto Facebook Anuar Rusa Steak House.

HULU BERNAM – Masakan eksotik berasaskan daging rusa yang diperkenalkan oleh pasangan generasi kedua FELDA berjaya menarik perhatian pengunjung di Kampung Raja FELDA Gedangsa, dekat sini.

Menurut artikel di portal Berita Harian, menariknya, hidangan itu datangnya daripada hasil ternakan rusa yang diternak sendiri oleh Shamsul Anuar Md Ali, 43 tahun, bersama isterinya, Norliza Ngatiman, 44 tahun, di tanah rancangan itu sejak enam tahun lalu.

Rusa yang diternak dan disembelih untuk dijadikan menu masakan esotik membabitkan kira-kira 16 ekor rusa sebulan di samping juga membeli stok daging rusa daripada penternak daging rusa tempatan bagi menampung bekalan stok daging terbabit di restoran yang dikenali Anuar Rusa Steak House terletak kira-kira 30 minit dari Tanjung Malim dan 15 minit dari Behrang.

Anuar berkata, pada peringkat awal sebanyak 14 rusa baka Timorensis diternak tetapi ketika itu beliau hanya fokus menjual daging segar di samping menjual stik daging rusa sahaja kepada orang ramai.

“Antara menu masakan esotik mendapat perhatian pengunjung iaitu masakan kari kaki dan kepala rusa yang baharu diperkenalkan tetapi perlu menempah terlebih dahulu kerana bekalan kepala dan kaki rusa agak terhad.

“Kepala dan kaki rusa yang dibersihkan akan dimasak atau direbus terlebih dulu dengan menggunakan api perlahan bagi memastikan daging yang terdapat pada bahagian rusa terbabit masak sepenuhnya.

“Bagi masakan kari, saya menggunakan rempah ratus tempatan yang diadunkan sendiri mengikut cita rasa sajian tradisional Melayu,” katanya ketika ditemui di Kampung Raja Felda Gedangsa, Hulu Bernam.

Selain kari kepala rusa, beliau turut menyediakan menu masakan berasaskan rusa iaitu masak lemak cili api, sup tulang, rendang, dendeng, daging rusa halia, sambal paru dan masak lada hitam campuran paru, hati, jantung dan limpa rusa.

Kari kepala dan kaki rusa dijual dari harga RM28 sehingga RM150 dan juga terdapat menu masakan lain ala kampung atau barat yang berasaskan daging arnab, ayam kampung, kambing dan burung puyuh.

Sementara itu, Norliza berkata daging rusa segar yang digunakan untuk masakan eksotik adalah tarikan utama kerana jarang penternak rusa turut menyediakan hidangan sedemikian.

“Walaupun berdepan dengan cabaran daging rusa palsu namun ia bukanlah halangan kami berdua untuk terus menyediakan masakan esotik berkenaan kepada pengunjung,” katanya.

Leave a Reply