Pemandu kereta rempuh empat kenderaan ditahan

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR – Seorang pemandu kereta ditahan kerana menyebabkan kemalangan dengan empat kenderaan lain di persimpangan lampu isyarat di Jalan Gombak menghala Jalan Genting Klang di sini pada Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, kejadian kira-kira jam 8.20 malam itu membabitkan kereta jenis Honda Civic, selain Proton Saga, Perodua Myvi dan dua Perodua Bezza.

“Lelaki berusia 45 tahun yang memandu Honda Civic di lorong paling kanan telah hilang kawalan lalu merempuh empat kereta sedang berhenti di lampu isyarat sebelum terbalik,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sarifudin berkata, kesemua pemandu yang terbabit dalam kemalangan itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Lelaki itu telah dibawa ke balai polis untuk ujian saringan air kencing dan keputusannya adalah negatif,” ujarnya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara tidak cermat sehingga membahayakan pengguna lain.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menyalurkannya dengan menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun HS Lee di talian 03-20719999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau balai polis berhampiran,” katanya.

Leave a Reply