Gajah Gunung Basor keluar dari hutan cari makan

Hebahkan !!!

KOTA BHARU – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menangkap seekor gajah liar yang keluar dari Hutan Simpan Kekal (HSK) Gunung Basor dan berkeliaran untuk mencari makanan di kawasan kebun di Kampung Salor, Jeli.

Gajah jantan tersebut ditangkap Unit Tangkapan Gajah (UTG) Perhilitan dalam operasi pada Jumaat lalu.

Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, operasi dijalankan susulan aduan berterusan yang diterima pihaknya sejak Ogos tahun lalu.

“Kita menerima aduan gangguan gajah liar di sekitar kawasan Kampung Salor, Kampung Batu Melintang, Kampung Jerek, Kampung Lawar dan Kampung Pendok di Jeli.

“Haiwan ini dipercayai kumpulan gajah Gunung Basor dengan anggaran populasi lebih 30 ekor yang keluar dari HSK Gunung Basor untuk mencari sumber makanan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, gajah tersebut dengan anggaran tapak kaki hadapan berukuran kira-kira 0.3 meter (14 inci) itu akan dilepaskan ke habitat semula jadi di Taman Negara dengan kerjasama Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah di Lanchang, Pahang.

“Operasi pemindahan gajah liar ini akan dilakukan pada esok (Selasa). Operasi menangkap dan memindahkan haiwan berkenaan adalah langkah susulan bagi mengelakkan kerugian berterusan kepada penduduk setempat dan memastikan keselamatan haiwan tersebut daripada diancam pemburuan haram,” jelas beliau.

Mohamad Hafid turut menasihatkan penduduk agar sentiasa membersihkan kawasan tanaman dan kebun supaya tidak bersemak bagi mengurangkan risiko menarik perhatian hidupan liar ke kawasan berkenaan.

“Jabatan Perhilitan juga memberi khidmat nasihat kepada penduduk setempat, pemantauan dan kawalan selain menggunakan kaedah tembak halau bagi memastikan gajah liar itu kembali semula ke hutan simpan berhampiran.

“Operasi tangkap dan pindah ini bukan penyelesaian jangka panjang bagi kawasan kebun atau ladang berhampiran dengan kawasan hutan simpan, sebaliknya langkah lebih efektif dilakukan adalah membina sistem pagar elektrik gajah (SPEG) bagi menghalang haiwan liar memasuki kawasan tanaman,” ujar beliau.

Leave a Reply