‘Azalina patut tanya Azam naik sejak zaman siapa’

Hebahkan !!!

SHAH ALAM – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Muhammad Faiz Na’aman menyelar Datuk Seri Azalina Othman Said berhubung isu pelantikan Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Azalina Othman Said patut tanya, TS (Tan Sri) Azam Baki naik dalam hierarki SPRM ini sejak zaman siapa?Takkan tiba-tiba muncul out of nowhere (entah dari mana) kan?

“Guna otak. Jangan hipokrit,” katanya menerusi status di Instagramnya pada Isnin.

Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang sebelum ini membangkitkan persoalan sama ada Muhyiddin membuat pemeriksaan terperinci sebelum melantik Azam sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada Mac 2020.

Menurut Penasihat Khas kepada Perdana Menteri (Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia) itu, persoalan tersebut penting kerana pelantikan Azam dibuat ketika Ahli Parlimen Pagoh (Muhyiddin) memegang jawatan Perdana Menteri kelapan.

Dr Muhammad Faiz turut mengulas mengenai memorandum sokongan yang dikeluarkan oleh tiga pimpinan utama SPRM mewakili seluruh agensi itu yang menyatakan pendirian menyokong Azam yang berdepan dakwaan terlibat salah laku.

“Jika integriti perlu dibuktikan hanya dengan memorandum, penafian dan sumpah laknat, maka rosaklah sistem keadilan serta semak imbang di negara ini,” sindirnya.

Dalam pada itu, Dr Muhammad Faiz berpendapat, Ketua Pesuruhjaya SPRM perlu mengisytiharkan harta kepada umum sekiranya ia bukan dibuat di Parlimen.

Tambahnya, SPRM juga wajar diletakkan di bawah Parlimen bagi menjadikan ia lebih adil dan dihormati oleh semua pihak.

 

Leave a Reply