Parti Bangsa Malaysia Perlu Buktikan Kredibiliti Dalam Politik Malaysia

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR : Parti Bangsa Malaysia (PBM) perlu membuktikan kredibiliti mereka sebagai parti baharu yang memperjuangkan konsep berbilang bangsa.

Menurut Pensyarah Pengajian Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM, Mujibu Abd Muis, ini adalah masa yang tepat bagi parti itu meyakinkan rakyat dengan penubuhannya yang tidak hanya semata-mata demi kepentingan peribadi untuk mempertahankan kelangsungan politik.

“Saya berpandangan, sebagai sebuah parti politik baharu antara cabaran terbesar dalam hala tuju yang perlu diharungi oleh Presiden PBM Larry Sng adalah bagaimana mahu meletakkan parti ini sebagai parti yang berbilang bangsa agar keluar daripada konsep ketika mereka berada di dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Selain itu, sudah tentu untuk mengikis persepsi bahawa mereka ini datang daripada fraksi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Zuraida Kamaruddin ketika bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta kemudiannya menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dilihat tidak mampu membina momentum dalam parti tersebut,” katanya merujuk laporan portal Astro Awani.

Di samping itu, Mujibu berkata sebagai sebuah parti politik baharu, PBM memerlukan pemimpin yang mempunyai pengalaman.

Malah, ketika ini beberapa nama pemimpin termasuk Azmin dan Zuraida turut hangat dikaitkan dengan parti itu.

“Selain itu, jika kedua-dua ahli politik ini menyertai PBM, barangkali (tindakan itu) akan mempertaruhkan kerjaya politik mereka.

Ini kerana, jika mereka terus menyertai Parti (Bersatu), keberangkalian peluang untuk menang itu ada untuk mereka atas faktor jentera dan sebagainya.

“Namun jika mereka beralih ke parti baharu seperti PBM ini, mereka akan sukar membina momentum walaupun mampu menjadi pemimpin-pemimpin utama. Selain itu, kemungkinan besar mereka akan menghadapi masalah dalam konteks pilihan raya,” katanya lagi.

Pada masa sama, Mujibu turut menegaskan, ketiadaan tokoh politik dalam PBM sedikit sebanyak memberi kekangan kepada parti itu dalam mendapatkan keyakinan rakyat dalam pilihan raya akan datang.

Katanya, ini kerana jelas parti-parti yang mempunyai tokoh besar sangat penting walaupun secara asas tidak menjadi satu faktor yang menjadi pertimbangan namun ia masih lagi menjadi sedikit kredit kepada parti baharu sebegini bagi memberikannya impak dan kredibiliti dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Leave a Reply