Polis mohon sambung reman suspek bunuh

Hebahkan !!!

PORT DICKSON – Polis akan membuat permohonan di Mahkamah Seremban pada Ahad bagi menyambung reman seorang lelaki warga Pakistan iaitu suspek kes bunuh rakan serumahnya di Taman Happy, di sini.

Ketua Polis daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, sebelum ini lelaki berusia 25 tahun itu telah direman selama tujuh hari bermula Isnin lepas.

“Kita akan buat permohonan sambung reman pada jam 10.30 pagi, Ahad di mahkamah bagi melengkapkan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang lelaki warga India maut dipercayai ditikam oleh rakan serumahnya dalam pergaduhan di sebuah rumah di Taman Happy, Jalan Pantai Batu 1, di sini pada awal pagi Isnin.

Polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 2.30 pagi dan menangkap seorang lelaki warga Pakistan yang juga rakan sekerja mangsa di hadapan rumah tersebut kira-kira jam 2.35 pagi.

Siasatan awal polis mendapati, pada jam 12.30 tengah malam mangsa yang berusia 22 tahun bersama suspek menikmati minuman keras di dalam bilik suspek di bahagian atas rumah.

Selepas itu, berlaku pertengkaran mulut sehingga mangsa ditikam dengan sebilah pisau dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian iaitu di bahagian dapur di tingkat bawah rumah.

Pegawai Perubatan dari Hospital Port Dickson mengesahkan mangsa meninggal dunia pada jam 1.50 pagi.

Leave a Reply