Ahli Bersatu sertai PBM digesa umum keluar parti, letak jawatan dalam kerajaan jika bermaruah

Hebahkan !!!

PETALING JAYA: Pemimpin atau ahli Bersatu yang menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) digesa mengisytiharkan diri mereka secara terbuka keluar daripada parti itu jika ada maruah.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Muhammad Faiz Na’aman, berkata tindakan itu perlu dilakukan agar mereka tidak bermain dua atau lebih “kolam”.

“Adalah menjadi kewajipan juga kepada mana-mana ahli parti politik untuk mematuhi perlembagaan parti mereka khususnya Bersatu yang telah menggariskan bahawa keahlian seseorang ahli Bersatu itu boleh tergugur secara automatik jika terbukti menyertai parti lain,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Ahli Parlimen Julau, Larry Soon@Sng diumumkan sebagai Presiden PBM selepas Mesyuarat Khas Persidangan Agung parti itu hari ini.

Larry yang juga bekas Ketua PKR Sarawak berkata, mesyuarat itu diadakan sebagai menurut kehendak Pendaftar Pertubuhan selaras perlembagaan PBM berikutan peletakan jawatan pemegang jawatan utama.

Dalam pada itu, Faiz turut menggesa individu dilantik atas lantikan politik dalam agensi kerajaan persekutuan, badan berkanun atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atas kapasiti sebagai ahli Bersatu sebelum ini meletakkan jawatan mereka.

Katanya, jika telah menjadi ahli PBM mereka bukan sebahagian daripada Perikatan Nasional (PN) atau kerajaan hari ini.

“Saya juga seru agar mana-mana menteri atau pemimpin dalam kerajaan hari ini yang telah membuat lantikan berdasarkan kuota lantikan politik terhadap individu yang kini telah terbukti bukan dari PN, BN atau GPS untuk menamatkan kontrak lantikan politik tersebut dalam kadar segera atau meminta individu itu meletakkan jawatan secara sukarela.

“Ini bagi mewujudkan keserasian agenda dalam hal ehwal membuat dasar, pengurusan serta pentadbiran apa-apa elemen di bawah kuasa kerajaan sama ada secara langsung atau tidak langsung.

“Serta mengelak sebarang bentuk kebarangkalian untuk disabotaj atau ditunggang oleh pihak luar yang tidak bersama kerajaan hari ini,” katanya.

Leave a Reply