‘Tak boleh buat apa, waris yang minta mahkamah bekukan RM10 juta’, kata pengetua tahfiz

Hebahkan !!!


KUALA LUMPUR: Pengetua Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Mohd Zahid Mahmood menjelaskan bahawa sumbangan berjuta ringgit daripada orang ramai kepada pusat itu dibekukan atas arahan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Beliau mengulas keluhan waris mangsa kebakaran kerana tidak menerima “walau sesen” daripada wang derma berjumlah RM10 juta susulan kebakaran di pusat tahfiz itu yang mengorbankan 21 pelajar dan dua guru pada 2017.

Keadaan itu antara lain memaksa waris mangsa tragedi berkenaan mengambil tindakan saman terhadap Zahid, isterinya dan Majlis Agama Wilayah Persekutuan pada tahun berikutnya.

“Yang ditularkan di surat khabar dan sebagainya, ‘ke mana perginya duit RM8 hingga juta RM10 juta’, (yang) dipersoalkan pihak waris. Jadi seolah-olah ada pihak melarikan duit itu.

“Yang sebenarnya duit RM8 juta (hingga) RM10 juta itu telah diminta dibekukan oleh mahkamah oleh pihak waris. Benda itu (wang sumbangan) memang dibekukan, jadi tak boleh buat apa,” kata Zahid.

Beliau kesal atas tindakan waris memberikan gambaran tersasar sehingga menimbulkan prasangka terhadapnya.

“Jadi kenyataan yang sebegini seolah-olah ingin memburukkan, ingin mencemarkan nama, dan juga membuat satu fitnah yang besar pada mahkamah. Seolah-olah mahkamah ini tidak relevan,” katanya kepada FMT.

Kelmarin FMT melaporkan keluhan Zamzuri Zakaria, ayah kepada anak berusia 10 tahun yang rentung dalam tragedi itu.

Antara lain Zamzuri mengimbau keadaan yang memaksa beliau dan waris lain memfailkan tindakan saman itu setelah gagal mencapai persetujuan dengan pihak pusat tahfiz mengenai sumbangan orang ramai itu.

Beliau juga kesal kerana tidak menerima sebarang permohonan maaf daripada pihak pusat tahfiz atas kebakaran yang meragut nyawa anaknya.

“Dari hari anak saya meninggal sampai ke hari ini, langsung tak pernah datang jenguk. Nak minta maaf macam mana? Jumpa kami pun tidak pernah,” kata beliau.

Bagaimanapun Zahid menjelaskan, susulan tragedi itu, beliau mengatur empat majlis tahlil dengan dihadiri pelbagai NGO, jabatan kerajaan serta syarikat swasta yang memberi sumbangan wang secara terus kepada waris mangsa.

“Selepas kejadian, kita ada buat program tahlil selama empat kali di surau Madrasah Ittifaqiyah dan setiap malam itu ada sumbangan daripada NGO yang saya sendiri kumpulkan. (Ini semua) kawan-kawan NGO saya.

“Sedikit sudah diberi, bukan daripada bahagian saya tetapi (oleh) NGO-NGO, jabatan kerajaan, syarikat-syarikat. Jumlahnya (saya) tak pasti sebab ia (sumbangan luar daripada akaun derma) sudah bermula sejak 2018.

“Yang ada dalam akaun itu, kita serah kepada mahkamah untuk buat keputusan,” jelas Zahid.

Ahmad Zaharil Muhaiyar, peguambela.

Peguam Ahmad Zaharil Muhaiyar yang mewakili Zahid berkata, pihaknya akan akur kepada apa sahaja keputusan mahkamah berhubung saman sivil itu.

“Biar mereka (waris) cakap apa sahaja. Faktanya, biar mahkamah yang tentukan apa yang mereka (waris) mahukan dan berapa (sumbangan orang ramai) yang mahkamah boleh beri,” katanya kepada FMT.

Perbicaraan saman sivil itu akan bersambung semula pada 12 Jan.

Pada 17 Ogos 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara selama diperkenankan Yang di-Pertuan Agong ke atas seorang remaja selepas didapati bersalah membakar pusat tahfiz berkenaan.

Leave a Reply