PAS masih mampu menang 3 negeri tanpa Umno, kata penganalisis

Hebahkan !!!

a group of people standing in front of a building: Jika PAS bekerjasama dengan Umno, laluan untuk ia mengekalkan kemenangan di negeri tersebut akan menjadi lebih mudah, menurut penganalisis.
PETALING JAYA: PAS masih mampu menguasai tiga negeri yang ditadbirnya ketika ini, iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah walaupun parti itu bertembung dengan Umno dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15), menurut penganalisis politik.

Kamarul Zaman Yusof dari Universiti Utara Malaysia (UUM) ketika mengulas masa depan kerjasama antara PAS dan Umno melalui Muafakat Nasional (MN) mempersoalkan sama ada ia mampu bertahan sehingga PRU15 atau sebaliknya selepas parti Islam itu menegaskan mahu mempertahankan Perikatan Nasional (PN) dan memperkukuh MN.

Katanya, PAS bagaimanapun boleh menang tanpa berdepan saingan sengit untuk kekal mentadbir Kelantan, Terengganu dan Kedah jika ia bekerjasama Umno dalam pilihan raya.

“Walaupun begitu, jika mereka (PAS) bekerjasama dengan Umno tentulah laluan PAS untuk mengekalkan kemenangannya di negeri tersebut akan menjadi lebih mudah kerana biasanya kerjasama akan mengekalkan status quo.

a man wearing a suit and tie smiling at the camera: Kamarul Zaman Yusoff.“…ini kerana jika ia tidak bekerjasama dengan Umno maka sudah pastilah PAS akan menghadapi saingan sengit daripada Umno yang menyaksikan kekalahan parti itu dalam PRU14 lebih banyak dipengaruhi oleh faktor nasional.

Oleh itu, pilihan terbaik bagi memastikan PAS kekal selesa di Kelantan, Terengganu dan Kedah dalam PRU15 ialah untuknya menjalinkan kerjasama politik dengan Umno di negeri tersebut,” katanya kepada FMT.

Bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia, Ahmad Atory Hussain turut senada dengan berpandangan bahawa PAS boleh menang mudah terutamanya di Kelantan selain Terengganu dan Kedah, manakala Pakatan Harapan (PH) sukar menembusi tiga negeri itu.

“PAS dijangka menang mudah di Kelantan, manakala di Terengganu Umno dan PAS dijangka bertarung sengit, sementara di Kedah PAS dijangka menang mudah bersama Bersatu melalui PN.

a man looking at the camera: Ahmad Atory Hussain.“Secara umumnya Umno ‘sakit’ untuk menang secara solo dalam PRU15 kecuali bersama PN. Kalau Umno bersama PH juga sakit, sebab PKR dan DAP sudah mula ditolak majoriti pengundi, Anwar Ibrahim pun pengaruhnya sudah merudum teruk akibat tindakan ‘flip flop’ beliau,” katanya.

Sementara itu, Iskandar Hasan Tan Abdullah dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kelantan berpandangan walaupun mengakui kekuatan PAS menang secara solo di tiga negeri itu, ia tidak bermakna status quonya tidak mampu digugat oleh Umno jika dua parti itu bertembung dalam PRU15.

Katanya, kebanyakan pucuk pimpinan Umno negeri di Kelantan, Terengganu dan Kedah telah berubah selepas kekalahan parti itu dalam PRU14 dengan menawarkan muka baharu, muda dan bertenaga.

a person posing for the camera: Iskandar Hasan Tan Abdullah.“Faktor kemenangan PAS bukannya datang daripada kekuatan pertambahan ahlinya, tetapi disebabkan pada masa itu, majoriti orang Melayu yang berada dalam ketiga-tiga negeri ini melihat keupayaan PAS sebagai pemerintah yang lebih berintegriti dan adil.

Beliau bagaimanapun berkata, Umno mempunyai peluang untuk menumbangkan PAS di ketiga-tiga negeri majoriti Melayu itu tetapi perubahan mood pengundi sentiasa berlaku mengikut perubahan politik semasa juga perlu dilihat.

“Untuk mengatakan PAS mampu mentadbir semula ketiga-tiga negeri ini juga adalah benar jika dilihat dari aspek akar umbi yang menyokong PAS tidak pernah berubah. Tetapi segala-galanya akan ditentukan oleh pengundi perantauan dan juga mood dan persepsi yang wujud semasa tempoh berkempen.

“Pilihan terbaik PAS ialah memilih satu gabungan parti sahaja antara BN atau PN. Ini disebabkan gerak kerja dan guna tenaga untuk fokus kepada satu gabungan parti lebih baik daripada bertaut kepada dua gabungan parti yang sentiasa bertentangan antara satu sama lain.

“Umno akan bertentang dengan Bersatu begitu juga MCA akan bertentang dengan Gerakan. Kedua-dua parti, iaitu Bersatu dan Gerakan adalah dalam PN. Ini bermakna BN tidak akan menerima PN semasa berlakunya pertandingan kalah mati dalam PRU15 nanti.

“Jadi, kaedah terbaik PAS adalah memilih yang paling ringan mudarat politik berbanding bertaut kepada kedua-dua gabungan parti yang dilihat kurang mesra dalam PRU15 nanti,” katanya.

Leave a Reply