Isu Azam Baki: Pemberi maklumat terima surat tuntutan, ganti rugi RM10 juta

Hebahkan !!!

SHAH ALAM – Pakar Ekonomi, Profesor Dr Edmund Terence Gomez mendakwa pemberi maklumat dalam pendedahan berkaitan isu dakwaan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki telah menerima surat tuntutan (LOD) pada Khamis.

Gomez yang sebelum ini meletak jawatan sebagai ahli panel perundingan SPRM kerana tidak berpuas hati dengan cara badan tersebut menguruskan dakwaan membabitkan konflik kepentingan Azam Baki berkata, tuntutan tersebut adalah daripada peguam mewakili Azam.

Menurutnya, peguam itu menuntut pemberi maklumat tersebut supaya memohon maaf secara terbuka atas laporan yang ditulisnya mengenai dakwaan berkenaan dan membayar ganti rugi berjumlah RM10 juta.

“Saya terkejut. Pemberi maklumat ini yang membangkitkan persoalan yang betul berkaitan kepentingan negara, kini disaman oleh Azam. Apa yang Azam sepatutnya lakukan ialah mendedahkan semua kepentingan perniagaannya secara terbuka demi menjaga imej dan integriti SPRM.

“Dengan menghantar surat tuntutan tersebut kepada pemberi maklumat, apa yang berlaku kini tidak lebih daripada intimidasi serius oleh Azam. Jika pemberi maklumat diancam dengan cara ini oleh mereka yang berkuasa iaitu trend yang sudah lama dilihat berlaku di Malaysia, bagaimana kita boleh membuat apa-apa kemajuan untuk membuat rakyat mendedahkan rasuah dan melindungi mereka kerana berbuat demikian?

“Saya menyeru Azam untuk menarik balik surat tuntutan ini serta-merta dan menghentikan percubaannya untuk memangsakan pemberi maklumat,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pada sidang akhbar khas bersama Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) di Ibu Pejabat SPRM pada Rabu, Azam memaklumkan beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang mencemarkan reputasinya dan SPRM.

Sebelum ini, Azam didakwa memiliki lebih RM4 juta saham dan waran dalam dua syarikat tersenarai sewaktu menjadi Pengarah Siasatan SPRM antara tahun 2015 dan 2016.

Pada masa sama, Gomez turut meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya bersama-sama bertindak untuk memulakan semakan segera terhadap fungsi SPRM.

Katanya, Perdana Menteri juga mesti bertindak segera untuk mewujudkan panel bebas bagi mengkaji dakwaan kepentingan perniagaan Azam.

Leave a Reply