Warga Emas Didakwa 21 Pertuduhan Pengubahan Wang Haram

Hebahkan !!!

SEREMBAN – Seorang warga emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban pada Khamis atas 21 pertuduhan pengubahan wang haram bernilai RM2.7 juta antara tahun 2015 hingga 2020.

Tertuduh, Lai Ching Wai, 64, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Diana Md Razali.

Mengikut pertuduhan, Ching Wai telah memindahkan wang hasil aktiviti haram daripada akaun simpanannya kepada akaun bank sebuah syarikat berjumlah RM2.7 juta antara 2 November 2020 hingga 11 November 2020.

Tertuduh juga telah menggunakan akaun simpanannya sebagai peralatan kesalahan berkaitan perlakuan aktiviti haram antara 21 Ogos 2015 hingga 19 Ogos 2020.

Perbuatan itu dilakukan di beberapa bank di daerah Seremban.

Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001(Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 15 tahun dan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Peguam S Karthigesan yang mewakili Ching Wai merayu supaya anak guamnya diberi jaminan rendah atas alasan beliau memberi kerjasama sepenuhnya dengan polis sepanjang proses siasatan.

Leave a Reply