Tiada Lagi Walk-In Untuk Suntikan Dos Penggalak Di Luar Kawasan PPV

Hebahkan !!!
Para penerima suntikan dos penggalak di UEM Learning Centre di Petaling Jaya.

ProtectHealth Corporation mengumumkan bahawa suntikan bagi dos penggalak kini tidak lagi dibenarkan secara walk-in di luar kawasan PPV.

Keputusan itu dibuat setelah melihat keadaan sepanjang minggu lepas, suasana sesak dan orang ramai kelihatan beratur panjang untuk menunggu di beberapa pusat vaksin walk-in di kawasan sekitar Lembah Klang.

Oleh hal yang demikian, ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) menyarankan orang ramai untuk menunggu tarikh temu janji yang ditetapkan di aplikasi MySejahtera.

Tindakan ini dilakukan bagi mengelak daripada perhimpunan secara besar-besaran yang jelas sekali bertentangan dengan SOP Covid-19 kerana tempat-tempat bagi mendapatkan dos penggalak secara walk-in ini kebanyakannya berada di kawasan yang tidak dapat menampung penjarakan sosial yang ditetapkan.

“Kami telah melihat keadaan yang sesak di pusat pemberian vaksin booster (walk-in) di bawah ProtectHealth selepas pengumuman tempoh pemberian booster dipendekkan kepada tiga bulan. Kami telah berbincang dengan pengamal perubatan swasta (PMP) kami yang menguruskan pusat pemberian vaksin tersebut dan bercadang untuk meningkatkan kawalan orang ramai,” kata Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth, Datuk Anas Alam Faizli.

Dikatakan, pada dasarnya individu yang telah mendapat temu janji perlu diutamakan. Pendaftaran sebagai senarai sandaran pada mulanya hanya dibenarkan untuk walk-in.

Datuk Anas juga menjelaskan bahawa mereka yang tidak mempunyai temu janji boleh juga mendaftar melalui email atau hubungi PPV persendirian seperti yang disenaraikan di laman ProtectHealth.

“Kami amat galakkan orang ramai untuk pergi ke laman web kami di www.protecthealth.com.my untuk mencari PPV pilihan mereka di https://vaksincovid.protecthealth.com.my/find, dan mendaftar dalam senarai menunggu, bagi membolehkan mereka untuk mendapatkan dos penggalak mereka,” katanya.

Pada minggu lalu, Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin telah menetapkan tempoh selang tiga bulan suntikan untuk penggalak Covid-19 bagi penerima Pfizer dan AstraZeneca (AZ).

Sebelum ini pula, Sinovac merupakan satu-satunya vaksin yang diluluskan untuk tempoh selang tiga bulan suntikan booster.

Pihak Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, dalam usaha memberi vaksin kepada individu mengikut senarai temu janji, mereka juga akan mengutamakan golongan warga tua dan mereka yang berpenyakit kronik.

 

Leave a Reply