Sekurang-Kurangnya 13 Orang Termasuk Tujuh Kanak-Kanak Maut Dalam Kebakaran

Hebahkan !!!

PHILADELPHIA : Sekurang-kurangnya 13 orang, termasuk tujuh kanak-kanak maut dalam kebakaran paling teruk dalam tempoh beberapa tahun selepas alat pengesan asap gagal berfungsi di sebuah bangunan pangsapuri perumahan awam di Fairmount, kata Jabatan Bomba Philadelphia.

Bomba berkata pasukan mereka tiba pada jam 6.40 pagi (waktu tempatan) dan mengambil masa kira-kira 50 minit untuk mengawal kebakaran di tingkat dua rumah tiga tingkat berkenaan.

Bangunan itu dimiliki oleh Pihak Berkuasa Perumahan Philadelphia yang dibiayai oleh kerajaan Persekutuan.

Pada sidang media, Timbalan Pesuruhjaya Bomba 1 Craig Murphy berkata, lapan orang berjaya menyelamatkan diri melalui salah satu dari pintu keluar dan tujuh kanak-kanak antara yang maut namun usia mangsa tidak dinyatakan.

“Ia amat mengerikan. Saya sudah tinggal di sini selama 35 tahun dan ini mungkin kebakaran terburuk yang pernah saya alami,” kata Murphy.

Bagaimanapun, bomba masih lagi menyiasat punca kebakaran.

Terdapat percanggahan mengenai alat pengesan di bangunan itu.

Jabatan bomba berkata terdapat empat alat pengesan dan kali terakhir ia diperiksa ialah pada 2020 manakala Naib Presiden Pihak Berkuasa Perumahan Philadelphia, Dinesh Indala pula memberitahu wartawan terdapat enam alat pengesan dan kali terakhir ia diperiksa ialah pada Mei 2021.

Katanya, dia tidak tahu mengapa alat pengesan itu tidak berfungsi.

Leave a Reply