Chelsea Sudah Sebelah Kaki Ke Final Piala Liga Inggeris

Hebahkan !!!

Chelsea sebelah kaki ke final Piala Liga Inggeris (EFL) selepas meraih kemenangan 2-0 ke atas Tottenham dalam perlawanan separuh akhir pertama di Stamford Bridge awal pagi tadi.

Thomas Tuchel kelihatan sudah memaafkan Romelu Lukaku apabila kembali menyenaraikan penyerang itu dalam kesebelasan utamanya walaupun kemenangan itu kelihatan lebih dibantu oleh kerapuhan pertahanan Spurs berbanding ketajaman serangan Chelsea.

The Blues berada di depan seawal minit kelima apabila Kai Havertz menghukum kesilapan yang dilakukan pertahanan lawan, Japhet Tanganga — hasil pintasan yang dilakukan Marcos Alonso — untuk menewaskan penjaga gol, Hugo Lloris.

Selepas setengah jam perlawanan, Chelsea memperoleh jaringan percuma apabila tandukan yang dilakukan Tanganga melantun ke arah Ben Davies, sekali gus terjaring bola ke gawang sendiri.

Spurs memperbaiki prestasi sepanjang 45 minit kedua tetapi amat bernasib baik tidak dibolosi lebih banyak gol, di mana Timo Werner memperoleh beberapa peluang keemasan buat Chelsea.

Pemain gantian Spurs, Tanguy Ndombele, hampir merapatkan jurang pada lewat permainan tetapi percubaannya diselamatkan penjaga gol, Kepa Arrizabalaga, untuk Chelsea kekal tidak dibolosi menjelang perlawanan kedua di Stadium Tottenham Hotspur minggu depan.

Sebelum penentuan ke final itu, Chelsea akan menantikan kunjungan Chesterfield bagi perlawanan Piala FA hujung minggu ini manakala Spurs pula bertemu Morecambe di London sehari kemudian.

Leave a Reply