Padah potong barisan, 46 individu disaman

Hebahkan !!!

NILAI – Polis trafik mengeluarkan saman kepada 46 individu termasuk pemandu lori yang didapati memotong kenderaan lain melalui Operasi Potong ‘Q’ di persimpangan lampu isyarat Jalan Nilai-Salak-Jalan Bandar Baru Nilai 6/1 dan persimpangan lampu isyarat Jalan Persiaran Pusat Bandar – Tol Nilai pada Selasa.

Operasi yang dilaksanakan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai pada jam 3.30 petang sehingga 6.15 petang itu turut membabitkan 15 saman lain.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan, Superintendan Shafie Muhammad berkata, pihaknya kini giat melaksanakan operasi memotong ‘Q’ (barisan) kerana ia boleh menyumbang kepada kemalangan jalan raya.

“Melalui pemeriksaan terhadap 61 buah kenderaan, 46 didapati memotong ‘Q’ dan 15 melanggar lampu isyarat merah.

“Bagi kesalahan dilakukan oleh pemandu lori, 10 didapati memotong ‘Q’ dan satu melanggar lampu isyarat merah,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, daripada jumlah kenderaan yang disaman, 11 adalah lori, 11 motosikal dan 39 kenderaan pelbagai guna (MPV) dan kenderaan pacuan empat roda.

Sehubungan itu beliau menasihatkan masyarakat supaya mematuhi peraturan jalan raya ditetapkan bagi mengelak dikenakan tindakan.

Leave a Reply