Menuju PRU15, pemimpin Umno berebut kedudukan dalam parti

Hebahkan !!!

PETALING JAYA: Tekanan semakin tinggi dalam Umno apabila ahli-ahli berebut kerusi dan jawatan dalam parti, di samping cuba memilih pihak yang tepat untuk disokong ketika mereka mendesak pilihan raya umum (PRU) diadakan tahun ini, menurut orang dalam parti.

Dua ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno memberitahu FMT, terdapat dua puak dalam parti itu, iaitu mereka yang rapat dengan Naib Presiden Ismail Sabri Yaakob, yang juga Perdana Menteri, berharap beliau akan menyegerakan pemilihan parti; dan pihak yang bersekutu dengan Presiden Ahmad Zahid Hamidi mahu pemilihan diadakan selepas PRU ke-15.

Mereka di pihak Ismail mahu pemilihan parti diadakan awal dengan harapan beliau akan menjadi Presiden dan dengan itu mempunyai kata putus dalam memilih calon PRU.

“Jika Zahid kekal sebagai Presiden, mereka takut mungkin tidak akan dipilih sebagai calon,” kata seorang pemimpin Umno.

Seorang lagi pemimpin yang enggan dinamakan berkata, sebilangan ahli parti berharap PRU15 diadakan menjelang pertengahan tahun, yang mereka percaya merupakan masa yang sesuai.

“Berdasarkan keputusan pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Sarawak, kita tahu Pakatan Harapan (PH) berada pada tahap paling lemah. Begitu juga Bersatu.

“Bagaimanapun, Barisan Nasional (BN) mempunyai rekod prestasi yang kukuh dalam meningkatkan ekonomi. Semua ini menjadi dorongan PRU diadakan segera kerana ini akan menguntungkan Umno,” katanya.

Beliau mengakui bahawa “pengkhianatan dijangka berada pada tahap paling tinggi” kerana para pemimpin berpecah kepada dua puak.

“Ahli Parlimen sedar mereka perlu menyokong pihak yang tepat kerana Umno dijangka memperoleh kemenangan lebih besar pada PRU15 dan mereka tidak mahu ketinggalan,” katanya.

Dominasi Umno dalam politik negara pertama kali tergugat pada 2008 apabila pakatan pembangkang, yang ketika itu dikenali sebagai Pakatan Rakyat, memenangi kuasa di lima negeri utama, diikuti dengan kejatuhannya pada 2018 apabila parti itu dan sekutunya dalam BN kehilangan kuasa di peringkat persekutuan.

Bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia, Azmi Hassan berpendapat, PRU akan diadakan tahun ini.

“Kebimbangan mengenai wabak (Covid-19) kini rendah, manakala kerajaan masih tidak dapat merangka dasar awam yang kukuh kerana mereka bukan kerajaan yang dipilih secara demokratik,” katanya, merujuk kepada kerajaan semasa yang memegang kuasa selepas Perikatan Nasional (PN) pimpinan Bersatu kehilangan majoriti di Dewan Rakyat.

Beliau berkata, Umno percaya parti itu kini mendapat sokongan rakyat yang cukup untuk memastikan kemenangan besar, berbeza dengan keputusan pada 2018.

Namun, isu pemilihan dalam Umno masih belum selesai.

“Mereka yang tidak menyokong Zahid berisiko digugurkan oleh Presiden itu bagi PRU15. Mereka mahu Zahid diganti secepat mungkin. Desakannya kuat,” katanya.

Beliau berkata, Zahid mungkin akan “menghapuskan musuh-musuhnya dalam Umno” dan pesaingnya di puak lain tahu kedudukan Zahid masih kukuh walaupun liabilitinya tinggi.

Zahid sedang dibicarakan atas 47 tuduhan pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah membabitkan dana Yayasan Akalbudi dan menerima rasuah bagi pelbagai projek semasa beliau menjadi Menteri Dalam Negeri.

Azmi juga berkata, faktor “feel good” yang dicetuskan oleh langkah meluluskan undang-undang antilompat parti pada sidang Parlimen pada Mac atau sebelum PRU15 juga akan membantu meraih kepercayaan rakyat.

“Keadaannya sama seperti apabila Dewan Rakyat meluluskan pindaan perlembagaan berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963. Faktor ‘feel good’ seperti itu membantu meraih sokongan,” tambahnya.

Tambahan, kerajaan mungkin cuba menjadikan penurunan angka kemasukan ke hospital sebagai petunjuk bahawa Covid-19 terkawal, mengikut cadangan penasihat perubatan tertinggi kerajaan Amerika Syarikat, Dr Anthony Fauci.

“Angka-angka ini mungkin menanam keyakinan rakyat,” katanya.

Oh Ei Sun daripada Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura meramalkan konfrontasi akan timbul antara kedua-dua puak dalam Umno itu tidak lama lagi.

Beliau berkata, secara azalinya Ismail cenderung mendesak pemilihan parti diadakan semasa beliau masih menjadi Perdana Menteri.

“Kedua-dua puak mungkin menggunakan pelbagai taktik, termasuk menawarkan jawatan bagi mendapatkan sokongan,” katanya.

Leave a Reply