Kedai Buku Terbesar Jepun Bakal Dibuka Di Pavilion Bukit Jalil

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR : Tarikan terbaharu menanti pengunjung di Pavilion Bukit Jalil apabila gedung buku terbesar Jepun, Tsutaya Books, bakal membuka cawangan pertamnya di rantau ini pada penggal pertama 2022, di pusat beli-belah itu.

Digelar ‘gedung buku tercantik di dunia’, Tsutaya Books di Pavilion Bukit Jalil mempunyai impian untuk menginspirasi dan mengubah gaya hidup menerusi konsep gedungnya – ‘Cultivate Culture & Lifestyle’ (Memupuk Budaya dan Gaya Hidup).

Ia menawarkan persekitaran kondusif untuk membina perwatakan, membentuk perhubungan dan mengukuhkan ikatan komuniti.

Ruang seluas 31,000 kaki per segi itu meliputi kedai buku, kafe, ruang cenderamata khas, dan kawasan aktiviti yang dibangunkan untuk memberi ruang istirahat dan inspirasi bagi komuniti.

Sesuai dengan imej dan penjenamaan ‘TSUTAYA’, Tsutaya Books membawa personaliti tersendiri, dengan menawarkan konsep unik di kawasan elit di mana tiada dua gedung yang serupa, seperti di T-Site di Daikanyama, Shibuya dan Ginza Six di Tokyo. Sejak itu, kedua-dua ‘TSUTAYA’ dan Tsutaya Books menjadi platform budaya pop Jepun yang menyeluruh, dan beroperasi di lebih 1,400 cawangan di seluruh dunia.

“Kami tidak sabar untuk melancarkan kedai buku kami yang pertama di Asia Tenggara di Pavilion Bukit Jalil, dan kami tidak sabar untuk rakyat Malaysia merasai pengalaman ini buat kali pertama.

“Selari dengan visi kami untuk memupuk budaya dan gaya hidup, kami berharap dapat mencipta ruang buat keluarga dan kanak-kanak yang mencintai buku, rekaan, dan seni untuk membesar, meneroka dan membangun bersama di Tsutaya Books,” ujar Ketua Tsutaya Books Malaysia, Hideyuki Uemoto.

“Satu penghormatan apabila Tsutaya Books memilih untuk membuka cawangan pertama di Asia Tenggara di Pavilion Bukit Jalil. Ini meningkatkan lagi tawaran kami selain penyewa sedia ada di pusat beli-belah ini,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Peruncitan, Kuala Lumpur Pavilion Sdn. Bhd., Datuk Joyce Yap.

Selain memiliki variasi bahan bacaan terbesar, Tsutaya Books juga menawarkan pasukan concierge yang menawarkan syor peribadi dan bimbingan kepada pengunjung berdasarkan genre yang disukai.

 

 

Leave a Reply