Jika China Naikkan Harga, Masalah Bekalan Arang Batu Tidak Akan Selesai

Hebahkan !!!

JAKARTA : Indonesia memberi amaran bekalan arang batunya kekal kritikal, menjelang kajian semula larangan eksportnya, esok yang sebelum ini menggemparkan pasaran global bahan api yang digunakan menjana sebahagian besar tenaga elektrik yang memacu ekonomi terbesar di Asia.

Nilai niaga hadapan arang batu di China, pengguna terbesar bahan api dunia, melonjak hari ini selepas Indonesia, pengeksport utama arang batu yang digunakan dalam loji janakuasa dan pembekal luar negara terbesar China, mengharamkan eksport untuk Januari, Sabtu lalu.

Langkah Indonesia itu bagi mengelakkan gangguan di janakuasa yang dikendalikan syarikat utiliti milik kerajaan, Perusahan Listrik Negara (PLN).

Kenaikan harga bahan api itu adalah antara petunjuk utama kesan larangan eksport arang batu Indonesia, yang mengancam keselamatan tenaga beberapa ekonomi terbesar dunia seperti China, India, Jepun dan Korea Selatan.

China menetapkan niaga hadapan arang batu meningkat sebanyak 7.8 peratus pada hari pertama dagangan sejak dasar baharu Indonesia itu diumumkan Sabtu lalu yang mana harganya kini 712.40 yuan (RM469.23) satu tan.

Kadar itu adalah yang tertinggi sejak 20 Disember dan niaga hadapan ditetapkan untuk keuntungan terbesar mereka sejak 19 Oktober.

Isnin lalu, PLN berkata mereka memperoleh 3.2 juta tan arang batu daripada 5.1 juta tan bekalan tambahan untuk Januari bagi mengelakkan gangguan bekalan yang lebih teruk.

Namun, PLN menyatakan “tempoh kritikal ini belum berakhir”, dan mereka akan terus menyelaraskan dengan kerajaan dan pembekal arang batu lain.

Pada masa yang sama, Presiden Indonesia, Joko Widodo berkata pelombong arang batu, serta pengeluar gas asli cecair, mesti mengutamakan bekalan domestik dan memastikan keselamatan tenaga di Indonesia sebelum mengeksport.

Beliau memberi amaran membatalkan permit perniagaan pelombong yang gagal memenuhi apa yang dipanggil obligasi pasaran domestik (DMO) yang memerlukan mereka menjual 25 peratus daripada keluaran arang batu mereka ke pasaran domestik pada harga maksimum AS$70 (RM46.11) setiap tan.

Menteri Kewangan Indonesia, Sri Mulyani Indrawati, berkata larangan itu dibuat bagi mengelak gangguan pemulihan ekonomi Indonesia, yang kini terbesar di Asia Tenggara, daripada pandemik COVID-19.

Keputusan itu dilihat membahayakan kuasa ekonomi Asia China, India, Jepun dan Korea Selatan, yang mana data Kpler menyatakan negara berkenaan menerima 73 peratus daripada eksport arang batu Indonesia pada 2021.

Pihak berkuasa Indonesia bersedia meneliti semula larangan eksport bahan api itu, esok.

Logistik untuk mengalihkan semula arang batu ke stesen janakuasa PLN sedikit mencabar kerana ia memerlukan tongkang yang lebih kecil dan bukannya kapal besar, kata seorang penganalisis arang batu yang berpangkalan di Singapura.

Pengerusi Persatuan Pelombong Arang Indonesia, Pandu Sjahrir, berkata sebagai “penyelesaian jangka pendek” 10 ahli terbesar kumpulan itu akan membantu PLN menyelesaikan jurang bekalan.

Menteri Badan Usaha Milik Negara (BUMN) Indonesia, Erick Thohir dalam satu kenyataan berkata, kementerian itu sedang berusaha menambah baik pengurusan dan infrastruktur bekalan arang batu PLN.

“Kami di Kementerian BUMN akan menambah baik kontrak bekalan jangka panjang,” kata Erick sambil menambah bahawa sistem logistik dan infrastruktur juga akan dinaik taraf bagi memastikan keperluan arang batu domestik dipenuhi.

Semalam, penganalisis memberi amaran bahawa India, yang menggunakan lebih 15 peratus daripada eksport arang batu Indonesia 2021, mungkin melencong bagi mendapatkan bekalan daripada pembekal lain jika larangan itu berterusan.

Ini bermakna permintaan yang lebih tinggi untuk arang batu terarah ke Australia, juga pembekal utama ke Asia. Saham Whitehaven Coal melonjak sebanyak 9.2 peratus pada hari Selasa, paling banyak sejak 16 Julai.

Leave a Reply