Jalan Kinabalu Tutup Kepada Awam Kerana Tanah Mendap

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR : Jalan Kinabalu menuju ke arah Cheras ditutup untuk kegunaan awam berikutan kejadian tanah mendap.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, insiden itu dikesan berlaku jam 10.30 pagi hari ini di belakang Rumah Persekutuan di ibu negara.

“Berlaku mendapan tanah yang mengakibatkan jalan berlubang di Jalan Kinabalu arah Cheras di bahagian belakang Rumah Persekutuan.

“JSPT Kuala Lumpur mengambil tindakan menutup jalan berkenaan kepada semua kenderaan pada 10.30 pagi hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kerja-kerja pembaikan sedang giat dilakukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Bagaimanapun, katanya, jalan itu akan ditutup untuk tempoh lebih 72 jam memandangkan DBKL dijangka mengambil masa dua atau tiga hari bagi membaik pulih sebelum dibuka semula kepada kenderaan.

Beliau menasihatkan pengguna jalan raya supaya tidak menggunakan laluan itu dan mematuhi papan tanda arahan yang disediakan.

Katanya, laluan alternatif turut disediakan yang mana kenderaan dari arah Selayang menuju ke Cheras dan Selatan dilencongkan ke Bulatan Datuk Onn, Jalan Parlimen dan seterusnya ke Jalan Sultan Iskandar dan ke Selatan semula.

“Sementara, kenderaan dari arah Jalan Maharajalela, Bulatan Sultan Muhammad serta Bulatan Hishamuddin pula dilencongkan terus ke Jalan Raja Untuk ke Pusat Bandar atau Ke arah Utara semula.

“Dalam pada itu, kenderaan yang datang daripada arah Jalan Parlimen masuk ke Bulatan Dato’ Onn dilencongkan ke Jalan Kuching untuk kelancaran trafik.

“Kenderaan daripada Jalan Tun Perak ke Bulatan Dato’ Onn di halakan terus ke Jalan Parlimen,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan ataupun maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai Polis berhampiran.

Leave a Reply