Isu KWSP: NUBE sokong ketegasan Kerajaan

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR – Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) mengalu-alukan ketegasan Kerajaan yang memutuskan untuk tidak membenarkan pengeluaran lanjut simpanan KWSP meskipun didesak oleh ahli-ahli politik tertentu.

NUBE berpandangan bahawa skim dan insentif yang diumumkan oleh Perdana Menteri boleh membantu mangsa banjir dan jika tidak mencukupi, kerajaan perlu menambah peruntukan sumbernya dengan sewajarnya.

Katanya, tindakan untuk taksub menggunakan dana KWSP semasa setiap bencana adalah tanda kerajaan tidak cekap dan malangnya ahli-ahli politik yang membuat desakan merupakan mereka dari kerajaan yang memerintah.

“Ahli-ahli politik ini perlu sedar bahawa tabung persaraan pekerja telah merosot dengan
ketara akibat pengeluaran yang dibuat dalam dua tahun lepas akibat wabak Covid-19,” kata Setiausaha Agungnya, J solomon dalam kenyataannya hari ini.

Beliau berkata, KWSP telah memberikan statistik yang mencukupi mengenai status simpanan persaraan pekerja selepas pelbagai pengeluaran diluluskan di bawah skim i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra.

“Ini membawa kepada sejumlah besar pencarum, sebahagian besarnya dari kumpulan B40, sangat terdedah kepada kesukaran apabila bersara.

“Agak mengejutkan seramai 28 peratus atau 3.6 juta ahli mempunyai kurang dari RM1,000
dalam simpanan mereka. Malangnya, ramai pencarum yang berada dalam keadaan
menyedihkan itu merupakan komuniti yang UMNO wakili.

“Kita perlu menerima hakikat bahawa kekurangan simpanan yang mencukupi juga, antara lain, disebabkan oleh ketiadaan kenaikan gaji yang baik selama beberapa dekad, dan khususnya, kekurangan gaji sara hidup yang baik,” tambah beliau.

NUBE berharap kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri tidak akan mengulangi kesilapan-kesilapan sebelum ini dan akan menyediakan pelan tindakan segera supaya pekerja akan mempunyai simpanan yang mencukupi semasa kecemasan dan simpanan persaraan yang sesuai demi perlindungan sosial.

Leave a Reply