‘Ban sungai pecah seperti bunyi letupan’

Hebahkan !!!

SEGAMAT – Mangsa banjir di Kampung Spang Loi di sini tidak dapat melupakan bunyi letupan kuat yang mereka dengar pada malam Jumaat sebelum kawasan penempatan mereka dilanda banjir.

Hasmidah Che Din, 50, berkata, bunyi letupan kuat kira-kira jam 3 pagi itu merupakan bunyi ban Sungai Muar yang pecah kira-kira sekitar 500 meter daripada rumahnya.

Menurutnya, ban sungai yang pecah itu menyebabkan air memasuki kawasan kampung dengan cepat ditambah pula dengan cuaca hujan tanpa henti sejak tiga hari lalu.

“Saya memang tak sempat nak selamatkan apa-apa, cuma dapat ambil dokumen penting sahaja. Saya dan suami serta dua orang anak segera ke pusat pemindahan sementara ( PPS) dengan keadaan sehelai sepinggang.

“Lebih menyedihkan hanya empat daripada sembilan ekor kucing peliharaan saya dapat diselamatkan. Lima lagi entah ke mana, ada yang berada di atas pokok dan ada di dalam rumah,” katanya ketika ditemui di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tambang Segamat pada Isnin.

Sementara itu, seorang lagi mangsa banjir, Ahmad Sumairi, 70, berkata, dia tidak menyangka banjir yang berlaku kali ini sangat teruk sehingga air naik mencecah dua meter.

© Provided by Sinar Harian

“Tidak pernah berlaku bencana banjir seperti ini dan kami (penduduk) diberitahu kejadian banjir ini disebabkan ban sungai pecah.

” Air naik begitu cepat pada malam Jumaat lalu. Saya hanya sempat ambil dokumen penting yang sudah pun diletakkan di tempat tinggi di rumah,” ujarnya.

Jelas Ahmad yang sudah tiga hari berlindung di PPS, dia kini hanya mahu melihat keadaan rumahnya selepas banjir surut.

“Saya bersyukur sepanjang berlindung di PPS, banyak bantuan dihulurkan kepada kami mangsa banjir di sini, sekurang- kurangnya dapat meringankan beban kami di sini,” katanya.

Seramai 229 mangsa banjir daripada 58 keluarga dari Kampung Spang Loi kini berlindung di PPS SK Tambang Segamat.

Sebelum itu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad turut meluangkan masa melawat mangsa banjir di PPS SK Tambang pada sebelah petang Isnin.

Leave a Reply