Penganalisis ekonomi menjangka tahun 2022 akan terus menjadi tahun yang mencabar disebabkan ketidaktentuan daripada impak penularan Covid-19 di peringkat global, ditambah bencana banjir yang melanda beberapa negeri dalam negara bulan lalu namun tidak seteruk tahun 2020.

Bercakap kepada MalaysiaNow, mereka mengatakan risiko “downside” (kerugian) tetap akan wujud pada 2022 terutama melibatkan impak Covid-19 menerusi varian terbaru iaitu Omicron yang dilihat mencetuskan kebimbangan di pasaran global.

Namun begitu, penganalisis turut yakin prestasi ekonomi tidak akan merosot seperti yang berlaku pada 2020 memandangkan aktiviti ekonomi dan sosial sudah dibuka semula ditambah dengan kadar vaksinasi yang terus meningkat.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Afzanizam Abdul Rashid, berkata prestasi sembilan bulan pertama 2021 adalah bukti Malaysia sudah berada di landasan pemulihan apabila mencatatkan pertumbuhan 3% berbanding penguncupan 6.4% pada tempoh sama tahun sebelumnya.

“Ini menunjukkan ada perkembangan positif jika dibandingkan dengan 2020,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Bagaimanapun, risiko kerugian pada 2022 masih jelas kelihatan, jadi kita tidak boleh abaikan risiko tersebut yang boleh menjejaskan sitausi pasaran modal Malaysia.”

Beliau berkata, prestasi ekonomi negara pada 2021 menguncup pada awal Julai apabila pelaksanaan perintah kawalan pergerakan secara menyeluruh disebabkan peningkatan mendadak jangkitan Covid-19 di negara.

“Ekonomi pada suku ketiga menguncup 4.5% selepas mencatatkan pertumbuhan 16.1% pada suku kedua,” katanya.

“Selepas pembukaan semula ekonomi susulan imuniti kelompok, pembukaan sempadan negeri dan aktiviti, prestasi suku keempat dijangka lebih baik.”

Sementara penganalisis dari Universiti Sunway Yeah Kim Leng berkata, kejadian banjir besar yang melanda sememangnya akan membantutkan pertumbuhan ekonomi negara, namun kesannya tidaklah sama seperti impak penularan Covid-19.

Katanya, walaupun prestasi suku keempat 2021 dijangka negatif disebabkan aktiviti ekonomi yang tergendala, Malaysia masih akan mencatatkan pertumbuhan ekonomi secara menyeluruh bagi 2021.

“Kemusnahan daripada kejadian banjir tidak dinafikan besar, tetapi bencana ini disifatkan sebagai situasi jangka pendek, tidak sama seperti penularan Covid-19.

“Varian Omircon dijangka akan menjadi tumpuan utama di peringkat ekonomi global kerana terdapat kebimbangan akan berlaku gelombang jangkita seterusnya,” katanya ketika dihubungi MalaysiaNow.

Tambah beliau, prestasi eksport negara yang dilihat semakin pulih pada 2021 juga dijangka mendorong pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 2022.

“Yang penting negara perlu pastikan pengukuhan permintaan dari luar negara dan peningkatan kuasa beli di peringkat domestik.

“Ini pastinya akan mendorong prestasi yang lebih baik berbanding pada tahun hadapan,” tambahnya.