Tutup Tirai 2021 Dengan Banjir Dan Pandemik, Buka Lembaran 2022 Dengan Solat Hajat

Hebahkan !!!

Menjelang tahun baharu 2022 esok, negara Malaysia melabuhkan tirai tahun ini dengan masih dibelenggu pandemik COVID-19 ditambah pula dengan bencana banjir yang melanda negara bermula pada 18 Disember yang lalu.

Ketika ini kawasan yang dilanda banjir seperti Selangor, Pahang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan sedang dalam fasa untuk pulih kembali dengan melakukan kerja pembersihan lumpur dan kerja memulihkan kembali infrastruktur yang rosak.

Pelbagai pihak dari agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) juga bersama dengan mangsa banjir membantu mereka membersihkan kawasan rumah mereka dan menghulurkan bantuan untuk mereka kembali pulih menjalani kehidupan seperti biasa.

Semenjak pandemik melanda pada tahun 2020, konsep sambutan ambang tahun baru sudah berbeza apabila tiada lagi majlis besar-besaran, percikan bunga api dan konsert yang berlanjutan sehingga lewat malam sebaliknya hanya disambut di rumah sahaja.

Seperti dijangka, sambutan awal tahun 2022 juga tidak kurang bezanya. Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di dalam Facebooknya mengumumkan negara akan menyambut tahun baharu 2022 dengan menunaikan solat hajat dan doa selamat sebagai tanda menghormati dan bersimpati dengan mangsa banjir.

Sambutan itu diberi nama Solat Hajat dan Malaysia Berzikir Ambang 2022 pada hari ini di Masjid Putra, Putrajaya.

Majlis itu juga akan disiarkan secara langsung di saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan TV Al-Hijrah.

Ismail Sabri juga menyarankan supaya masjid di seluruh negara terutamanya masjid negeri untuk menganjurkan majlis yang sama.

Bagi mereka yang bukan beragama Islam boleh melakukan upacara sembahyang mengikut kepercayaan agama masing-masing.

Dijangka sambutan meriah tahun baharu seperti sebelum ini masih lambat lagi untuk kembali ekoran kini COVID-19 kembali menular dengan varian virus baharu iaitu Omicron yang mencetuskan kebimbangan bukan hanya di Malaysia tapi seluruh dunia.

Di Makkah, pihak pengurusan Masjidil Haram juga sudah kembali melaksanakan solat dengan penjarakan fizikal walaupun sebelum ini mereka memansuhkannya dan solat dengan saf seperti biasa.

Semoga tahun 2022 esok akan membuka lembaran baharu untuk Malaysia untuk kembali pulih dari segi ekonomi, rakyat serta politik kembali stabil.

Leave a Reply