Ombak Besar, Orang Ramai Dinasihat Jauhi Kawasan Pantai

Hebahkan !!!
Pantai Air Papan di Mersing, Johor.

MERSING: Orang ramai yang mengunjungi pesisiran pantai di daerah ini terutama Pantai Air Papan dinasihatkan tidak menghampiri kawasan pantai berikutan ombak besar.

Tinjauan di Pantai Air Papan mendapati masih terdapat pengunjung yang memberanikan diri menghampiri gigi air walaupun ketika ombak besar.

Penyelamat pantai dari Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) dilihat turut memantau pengunjung dan menasihatkan mereka tidak berada terlalu hampir dengan air laut bagi mengelakkan sebarang kemungkinan.

Bendera merah turut dikibarkan di sepanjang pantai sebagai peringatan pengunjung tidak dibenarkan untuk mandi di pantai.

Penyelamat pantai APM, Norhizam Sidek, 43, berkata ombak di Pantai Air Papan mencecah ketinggian lebih tiga meter dan sangat berbahaya kepada orang ramai.

Katanya, pada musim biasa ombak di Pantai Air Papan hanyalah setinggi kurang 0.5 meter atau hampir tiada ombak.

“Tiga penyelamat pantai bertugas pada setiap giliran tugasan bermula jam 8 pagi hingga 7 malam setiap hari bagi memastikan pengunjung tidak melanggar arahan supaya tidak mandi atau menghampiri gigi air berikutan ombak besar.

“Kami turut diarahkan meningkatkan pengawasan di pesisiran pantai pada musim tengkujuh kali ini apatah lagi sekarang masih cuti sekolah dengan ramai pengunjung datang ke sini.

“Dinasihatkan supaya pengunjung yang datang tidak melepasi garisan bendera merah yang dipasang bagi mengelak sebarang kemungkinan,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, pengunjung, Fatiana Mohamad, 43, berkata dia membawa keluarganya seramai sembilan orang bersantai di Pantai Air Papan sempena cuti sekolah.

“Anak-anak memang hendak mandi namun saya tidak benarkan berikutan ombak kuat dan bendera merah dipasang sebagai amaran.

“Kami hanya bersantai serta berkelah di tepi pantai untuk bermain layang-layang dan tidak berani ke kawasan air laut sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya.

Leave a Reply