Lelaki Sanggup Ugut Bapa Untuk Bakar Rumah Jika Tidak Dibelikan Burger

Hebahkan !!!

Akibat perbuatan biadab mengugut bapa sendiri untuk membakar rumah hanya jika tidak dibelikan burger, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara selama 5 bulan oleh Mahkamah Majistret Selayang.

Majistret Nur Hafizah Rajuni menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohammad Adib Akmal Mohd Sauffi, 29 tahun, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.

Mahkamah memerintahkan Adib menjalani hukuman penjara itu bermula daripada tarikh dia ditangkap iaitu pada 28 Disember.

Mohammad Adib didakwa telah melakukan ugutan terhadap bapanya, Mohd Sauffi Baharudin, 65 tahun, untuk membakar rumah sehingga mendatangkan ketakutan.

Kesalahan itu dilakukan di kediamannya di Taman Bolton, Batu Caves, Selangor, pada 10 malam 27 Disember lalu yang didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian ketika mangsa keluar, mangsa telah menerima panggilan daripada anaknya iaitu tertuduh yang menyuruhnya membelikan burger dan pulang segera ke rumah.

Tertuduh turut berkata, sekiranya mangsa tidak membelikan burger dia mengugut untuk membakar rumah.

Takut dengan keadaan itu, mangsa kemudian telah bertindak membuat laporan polis.

Ketika rayuan, Adib yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, M Mariappan memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan dengan alasan anak guamnya hanya berniaga kecil-kecilan dan berpendapatan RM1,000 sebulan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Anis Farhah Ahmad Hilmi memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.

“Dalam kes ini, tertuduh mengugut bapa kandungnya sendiri. Sebagai anak, tertuduh sepatutnya menjaga dan menghormati bapanya bukan mengugut,” katanya.

Leave a Reply