Akibat Cinta Tidak Direstui, Sampai Bergaduh Depan Balai Polis

Hebahkan !!!

PETALING JAYA – Percintaan tidak direstui keluarga menjadi punca enam individu bergaduh sehingga ditahan polis semalam.

Dalam kejadian 3.25 petang itu, tiga lelaki dan tiga wanita berusia 17 tahun hingga 35 tahun didapati bergaduh di pekarangan Balai Polis Komuniti di Kelana Jaya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, anggota polis bertugas kemudian memberi amaran supaya suspek menghentikan perbalahan dan beredar.

Menurutnya, suspek bagaimanapun tidak mengendahkan amaran diberikan anggota polis.

“Polis kemudian menahan semua suspek kerana bergaduh di kawasan balai polis.

“Semua suspek diambil keterangan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan dan Seksyen 90 Akta Polis 1967.

“Orang ramai dinasihatkan lebih rasional dan tidak mencetuskan suasana tidak tenteram di balai polis selain mematuhi arahan anggota polis,” jelasnya.

Leave a Reply