Suspek Tetak Mati Adik Sendiri Ditangkap Bersama Sebilah Pedang

Hebahkan !!!

JELI: Seorang lelaki ditahan polis ketika berada dalam keadaan bingung di tepi jalan Kampung Sungai Rual Melayu dekat sini, selepas menetak adiknya hingga mati awal pagi tadi.

Suspek berusia 36 itu ditahan polis jam 11 pagi tadi, bersama sebilah pedang yang digunakan dalam pembunuhan itu.

Dalam kejadian jam 1.20 pagi tadi, mangsa, Ma Udeng Masae, 30, mati di tempat kejadian kerana kecederaan parah di bahagian belakang leher selepas ditetak menggunakan sebilah pedang.

Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Ahmad Arifin, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 3 pagi tadi dan bergegas ke lokasi.

“Sebaik tiba, mangsa dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah, manakala suspek sudah menghilangkan diri.

“Sebelum kejadian, mangsa berada di dapur untuk memasak dan tiba-tiba didatangi abangnya itu sebelum menetaknya menggunakan sebilah pedang di bahagian leher.

“Usaha memburu suspek dijalankan sebelum lelaki itu ditemui di tepi jalan di sekitar kampung itu dalam keadaan bingung sambil memegang sebilah pedang yang digunakan dalam kejadian,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Ahmad berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Jeli untuk bedah siasat .

Katanya lagi, suspek yang tinggal bersama dua adiknya termasuk mangsa, dikatakan mengalami kemurungan sejak dua tahun lalu selepas berpisah dengan bekas isterinya.

Menurutnya, kesemua mereka yang berasal dari Thailand sudah lama menetap di sini dan bekerja sebagai buruh sekitar kampung itu.

“Hasil soal siasat bersama ahli keluarganya, suspek tidak pernah bertindak agresif dan kadangkala sahaja menjadi murung, tetapi tidak pernah menerima apa-apa rawatan.

“Ujian saringan yang dijalankan mendapati suspek negatif dadah dan permohonan reman akan dibuat esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK),” katanya.

Leave a Reply