Majlis Pelancongan Malaysia Dan MOTAC Edar Bantuan Banjir Di Temerloh

Hebahkan !!!
Presiden Majlis Pelancongan Malaysia, Uzaidi Udanis (kanan) bersama Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian (Pelancongan) Mohd Zamri Mat Zain mengagihkan bantuan banjir di Temerloh dalam satu misi bantuan banjir dengan kerjasama bersama MOTAC di Dewan Kelulut, Temerloh.

TEMERLOH – Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bekerjasama pada 28 Disember lepas mengagihkan bantuan mangsa banjir di sini yang merupakan antara lokasi yang terjejas teruk akibat banjir Isnin lepas.

MTC diwakili oleh Presiden Uzaidi Udanis manakala MOTAC diwakili oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian (Pelancongan) Mohd Zamri Mat Zain dan wakil dari Temerloh dan negeri Pahang ialah Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan Dan Komoditi Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.

Mohd Sharkar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang berkata banjir yang berlaku pada 18 Disember lepas merupakan yang paling dahsyat sekali dalam kurun ini dan ia dikatakan menyamai bencana banjir pada tahun 1971.

“Satu malapetaka banjir yang kita ingati, kami sentiasa berharap supaya semua sentiasa mendoakan kami supaya kami dapat menempuhi episod yang sedih dan duka ini.

“Banyak bantuan-bantuan yang kita terima daripada pelbagai pihak, individu, persatuan, syarikat… Saya tidak menghalang,” katanya.

Beliau berkata di negeri Pahang, persediaan untuk menghadapi banjir agak sedikit teratur kerana negeri itu kerap dilanda banjir dan pengurusan kerajaan negeri telah belajar dari kesilapan yang lepas.

Sementara itu, Uzaidi berkata pihak MTC terkesan dengan bencana ini yang merupakan kali ke-2 daerah Mentakab dan Temerloh dinaiki air banjir.

“Kami agak terkesan kerana kami rasa Temerloh adalah satu tempat destinasi yang popular terutama sekali untuk pelancong domestik.

“Jadi, kita terpanggil untuk membantu apa yang mampu,” katanya.

Pihak MTC berjaya mengumpulkan bantuan dibawa dengan lori dan van dengan kerjasama dengan MOTAC.

“Kita bersama-sama dalam konsep Keluarga Malaysia ini, kita harus bersama-sama bekerja bukan kita nak tuduh menuduh.

“Ini yang sepatutnya kita lakukan,” ujar Uzaidi.

Sebelum ini pasukan kerjasama itu sudah berada di beberapa tempat di negeri Selangor dan mungkin selepas ini akan berada di Jelebu, Negeri Sembilan.

Menurut beliau pelancongan adalah industri yang paling penting dan semua pihak harus baiki dan pulih cepat serta bangkit semula menghidupkan semula pelancongan.

 

Leave a Reply