Long Tiger Dipercayai Dalam Percubaan Untuk Lari Ke Thailand Atau Indonesia

Hebahkan !!!

JOHOR BAHRU – Lelaki etnik Rohingya dikenali sebagai Long Tiger yang ditahan di sebuah rumah di Kuala Ketil, Sungai Petani Kedah pada Selasa dipercayai dalam perjalanan meloloskan diri ke Indonesia dan Thailand.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, Long Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab Hamid, 33 berjaya ditahan selepas 13 hari melarikan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak.

“Tangkapan itu dilakukan susulan penahanan dua lelaki berusia 36 dan 38 tahun yang dipercayai bersekongkol dengan suspek antara jam 7.25 malam hingga 3 pagi Rabu di sekitar Batu Pahat.

“Kedua-dua lelaki itu dipercayai membantu suspek dengan memotong gari tangannya selain membeli kad sim sebelum melarikan diri ke utara negara.

“Kita percaya Long Tiger yang melarikan diri ke Kedah dalam perjalanan keluar dari negara ini sama ada ke Thailand dan Indonesia,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Ayob Khan turut memberitahu, pondan berusia 46 tahun yang ditahan bersama Long Tiger di rumah di Kuala Ketil Sungai Petani dipercayai rakannya yang dikenali menerusi Facebook kira-kira dua tahun lalu.

“Siasatan masih dijalankan bagi mengenalpasti sama ada suspek terlibat dibayar oleh Long Tiger atau bersekongkol. Polis juga siasat sekiranya ada individu yang membiayai suspek berkenaan.

Pada Selasa Sinar Harian melaporkan, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani mengesahkan penangkapan lelaki terbabit.

Sebelum itu, tular di akaun seorang pemilik laman sosial Facebook yang berkongsi gambar penangkapan Long Tiger di sebuah rumah di Sungai Petani.

Pada 15 Disember lalu, Long Tiger meloloskan diri melalui pintu utama mahkamah kira-kira jam 11.55 pagi sebelum perbicaraan bermula.

Suspek sebelum itu tiba dari Penjara Sungai Udang, Melaka untuk perbicaraan mengikut Seksyen 388 Kanun Keseksaan kerana kes pemerasan.

Suspek juga masih mempunyai status perbicaraan di Mahkamah Sesyen Muar membabitkan kesalahan rogol mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan serta Seksyen 224 kanun sama kerana lari dari tahanan.

Leave a Reply