Pembantu Kantin Jual Rantai Emas Curi, Kena Penjara Enam Bulan

Hebahkan !!!

Tertuduh, Nazrini Shuhada Abdullah, 27 tahun yang dituduh menjual rantai emas yang dicurinya dibawa oleh anggota polis ke mahkamah.

KOTA BHARU – Seorang wanita bekerja sebagai pembantu kantin dijatuhi hukuman penjara selama 6 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas disabitkan kesalahan menjual barang kemas yang dicurinya daripada seorang warga emas bulan lepas.

Tertuduh, Nazrini Shuhada Abdullah, 27 tahun, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Muhammad Fitri Mokhtar.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memindahkan harta curi iaitu dengan menjual kepada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) Smart Venture Sdn Bhd seutas rantai leher emas seberat 14.72 gram milik seorang warga emas wanita berusia 81 tahun.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah Desa Darul Naim Mukim Gunung, di sini, pada 30 November 2021.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, ketika mangsa berada di rumah seorang diri, tertuduh yang tidak dikenali datang bersama anaknya dengan menaiki motosikal dan menarik rantai emas yang dipakai warga emas itu.

Mangsa mengalami luka di bahagian leher dan anggaran kerugian RM3,000 sebelum warga emas itu membuat laporan di Balai Polis Binjai.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Asmah Che Wan dan tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Atikah Abd Halim.

Terdahulu, Siti Atikah merayu supaya mahkamah menjatuhkan hukuman penjara minimum kepada tertuduh kerana tertuduh mempunyai seorang anak yang kecil dan hanya bekerja sebagai pembantu kantin dengan pendapatan RM30 sehari.

“Saya percaya hukuman penjara menyebabkan wanita itu akan tinggal berasingan dengan anaknya. Hukuman ini akan diambil iktibar dan tidak akan mengulangi kesalahan yang sama,” katanya.

Bagaimanapun, Asmah memohon hukuman yang setimpal untuk memberi pengajaran kepada tertuduh.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama enam bulan yang bermula hari ini.

Leave a Reply