Keahlian Naib Presiden Warisan Datuk Peter Anthony Terbatal Secara Automatik

Hebahkan !!!

KOTA KINABALU: Keahlian Naib Presiden dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Peter Anthony dalam Parti Warisan Sabah (WARISAN) terbatal secara automatik.

Setiausaha Agung, Datuk Loretto Padua ketika dihubungi, berkata selain Peter, keahlian ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuatim yang dijangka meninggalkan WARISAN bagi menyertai parti baharu yang bakal dibentuk Anthony itu juga terbatal.

Katanya, keahlian kedua-dua ADUN terbabit adalah terbatal berdasarkan perlembagaan parti WARISAN.

“Mengikut perlembagaan parti, kalau mereka sudah umum untuk keluar, secara automatik keahlian mereka terbatal dan mereka tidak perlu lagi menghantar surat untuk maklumkan kepada parti.

“Mengenai tindakan ke atas mereka, kita (parti) akan bincangkan nanti. Berikan kami masa untuk berbincang dan akan dimaklumkan kepada pemberita,” katanya.

Ketika ditanyakan sama ada kedua-dua ADUN terbabit telah memaklumkan mengenai perkara terbabit kepada Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Loretto berkata :

“Itu kena tanya Peter (Anthony) atau Juil kalau mereka ada berhubung dengan presiden,” katanya.

Hari ini, media melaporkan Anthony mengumumkan keluar dari parti WARISAN bagi menubuhkan sebuah parti baharu tempatan.

Katanya, parti baharu yang bakal ditubuhkan itu adalah sebuah parti mesra Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang akan menyokong kerajaan negeri.

Leave a Reply