Yang di-Pertuan Agong Lawat Mangsa Banjir Di SK Bukit Cermin

Hebahkan !!!

TEMERLOH: Mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Cermin, terharu menerima kunjungan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini.

Kedatangan baginda turut diiringi Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah.

Al-Sultan Abdullah turut menyantuni 383 mangsa daripada 146 keluarga yang ditempatkan di PPS itu selepas rumah mereka dinaiki air sejak Ahad lalu.

Penduduk Kampung Sungai Dingin, Ruziah Md Zain, 68, berkata ini kali pertama dia bertemu baginda yang bertanya khabar dan mengurniakan sumbangan yang akan digunakan untuk membaiki rumahnya yang rosak teruk dalam bencana itu.

“Tuanku mengarahkan doktor bertugas memeriksa kaki saya selepas baginda bertanyakan keadaan kaki kemerahan dan gatal sejak beberapa hari lalu,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Siti Aminah Ali, 75, yang kehilangan tempat tinggal selepas rumahnya di Kampung Mambang Berulang di sini, dinaiki air sehingga paras siling berkata, Al-Sultan Abdullah menasihatkannya menjaga kesihatan.

Selain PPS SK Bukit Cermin, Al-Sultan Abdullah turut berangkat ke Kampung Serdang di sini, bagi meninjau operasi pembersihan pascabanjir yang turut disertai Tim Bantuan Bencana Istana Negara.

Baginda turut melawat rumah pesara, Abd Razak Ariffin, 66, yang terletak di depan Sungai Semantan, yang dinaiki banjir setinggi paras tingkap di bahagian atas rumah dua tingkat itu.

Abd Razak berkata, Al-Sultan Abdullah yang meninjau kemusnahan rumahnya turut menitahkan pegawai kerajaan yang berada di situ membantu penduduk kampung membaiki kerosakan akibat banjir sebaik mungkin.

“Saya terharu baginda sudi masuk ke rumah saya kerana keadaan sangat teruk. Lumpur tebal dan semua perabot dihimpunkan di laman kerana semuanya belum sempat dibersihkan kerana saya baru pulang ke rumah pagi ini (semalam),” katanya.

Abd Razak berkata, banjir yang berlaku Ahad lalu antara terburuk pernah dialaminya kerana air naik pantas, menyebabkan mereka lapan sekeluarga hanya dapat menyelamatkan dokumen penting sebelum terus ke PPS.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin, Pegawai Daerah Temerloh, Datuk Ali Syahbana Sabaruddin serta pegawai kanan daerah.

Penduduk Kampung Chatin, Rohaiday Jamaludin, 43, berkata, dia sudah sembilan hari berada di PPS dan hanya sempat menyelamatkan televisyen dan peti sejuk.

“Paras air naik begitu cepat hingga paras bumbung rumah pada kejadian malam Sabtu lalu,” katanya.

Leave a Reply