Tak puas hati jawapan PM, ADUN PKR teruskan tawaran RM1,000 kesan menteri, timbalan

Hebahkan !!!

PETALING JAYA: Seorang ADUN pembangkang kesal Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tidak memberikan penjelasan telus mengenai status tiga menteri dan seorang timbalan menteri yang didakwa “hilang” ketika rakyat bergelut dengan banjir.

Justeru, kata ADUN Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad, tawaran RM1,000 masih terbuka untuk sesiapa yang boleh mengesan Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein, Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu, Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man dan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin.

Pagi tadi Ismail Sabri Yaakob berkata, beberapa menteri sudah pulang dari bercuti di luar negara selepas diarah berbuat demikian Jumaat lalu, namun tidak menamakan mereka.

Beliau berkata, menteri terbabit sedang menjalani kuarantin Covid-19 dan akan “turun padang” membantu mangsa banjir dalam masa terdekat.

Penjelasan Perdana Menteri itu tidak memuaskan Arafat yang menegaskan beliau tidak akan menarik balik ganjaran RM1,000 yang ditawarkan sebelum Ismail membuat kenyataan itu.

“PM sepatutnya dedah siapa menteri yang sudah balik dan siapa belum. Rakyat ada hak mengetahui,” katanya kepada FMT.

“Tawaran saya masih terbuka, kerana tidak ada mana-mana pihak setakat ini maklum secara jelas mengenai menteri mana yang telah pulang,” kata ADUN PKR itu.

Arafat berkata, beliau ambil maklum ada rakaman video ucapan Faizal berlatarbelakangkan Kuala Lumpur semalam, namun “tidak pasti betul atau sekadar edit.”

Terdahulu, Arafat berkata, beliau menawarkan ganjaran RM1,000 itu kerana empat ahli Jemaah Menteri berkenaan “langsung tidak dilihat” dalam mana-mana misi membantu mangsa banjir teruk yang melanda negara sejak minggu lalu.

“Sampai sekarang tiada maklumat yang jelas…di manakah mereka. Kenapa langsung tiada terlibat dalam misi bantuan banjir,” soal Arafat.

Pentadbiran Ismail dikritik pelbagai pihak kerana dilihat lembab dalam menggerakkan kerja mencari dan menyelamat mangsa banjir di Lembah Klang dan beberapa negeri lain minggu lalu.

Ismail sendiri ditegur oleh Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan yang menggesa Perdana Menteri lebih aktif dalam mengetuai penyelarasan operasi bantuan banjir.

Jumaat lalu, Ismail mengarahkan semua menteri membatalkan rancangan bercuti di luar negara bagi membantu mangsa banjir di beberapa negeri.

Bagi menteri yang sedang berada di luar negara pula, beliau meminta mereka pulang segera ke tanah air untuk bersama membantu Keluarga Malaysia yang dalam kesusahan.

Beliau turut menjelaskan, menteri yang sudah berada di luar negara pergi sebelum banjir melanda negara minggu lalu.

Leave a Reply