Siti Nurhaliza Bakal Hadir Dengan Filem Dokumentari Sendiri

Hebahkan !!!

Penyanyi terkenal Datuk Seri Siti Nurhaliza menjadi artis pertama Malaysia muncul dengan filem dokumentari Siti: Are You Ready? yang mana memaparkan kisah di sebalik tabir dan perjalanan Konsert Dato’ Sri Siti Nurhaliza on Tour di tiga negara iaitu Indonesia, Singapura dan Malaysia pada 2018.

Menurut Siti, filem dokumentari berdurasi 80 minit yang diarahkan M Azhar Rot dan Anz Izwan itu adalah ringkasan dirinya sebagai seorang penyanyi, ibu dan juga isteri.

Malah, menerusi filem dokumentari terbitan Shiraz Projects dan Siti Nurhaliza Productions itu, penonton dapat melihat sisi Siti yang jarang diperlihatkan pada orang ramai, yang mana dalam kelembutannya, terselindung sikap ketegasan.

Menurut laporan berita dari portal akhbar termpatan, ia diperlihatkan apabila dia dan seluruh pasukannya berhadapan dengan konflik bagi menjayakan konsert pertamanya di Jakarta, Indonesia.

“Ada lagi kisah yang tidak kami masukkan kerana agak sensitif, tapi bagi saya ia akhirnya menjadi suatu yang positif buat kami.

“Apa yang kami semua inginkan adalah membuat persembahan yang terbaik dan berjalan dengan lancar. Konflik itu terjadi apabila kami mahu menjalankan konsert pertama di Jakarta.

“Kami mahu buat satu konsert yang besar dengan tanggungjawab yang sangat besar. Satu pasukan sudah kerja keras tapi masalah nak terjadi, kita nak buat macam mana. Namun, kalau ada perancangan yang betul dan teliti, Insya-Allah semuanya boleh berjalan lancar.

“Disebabkan itu konsert ini juga adalah satu pengajaran bagi kami satu pasukan, yang mana sudah merasai dan melalui pelbagai cabaran. Mungkin selepas ini kami akan lebih peka dan berhati-hati dalam melakukan kerja. Kita semua belajar dari pengalaman.

“Persiapan awal itu penting untuk menjadikan konsert berjaya dan ini semua adalah kisah benar yang kami mahu cerita pada masyarakat.

“Anda tengok kami di atas pentas dengan penuh kagum, tapi di sebaliknya banyak cabaran yang kami lalui untuk menjadikan konsert yang berjaya atas rasa tanggungjawab dan rasa cinta pada muzik,” katanya.

Menurut Siti, terlalu banyak detik yang ingin dikongsi, namun dia harus memilih yang terbaik dan istimewa untuk dipaparkan.

“Kalau mahu diikutkan, banyak detik yang mahu dikongsi, tapi dari 72 jam ia ditapis menjadi 80 minit. Saya melihat ini antara detik paling istimewa yang saya abadikan. Saya sudah buat sesuatu dengan penuh kasih sayang dan cinta terhadap seni dan yang penting saya disokong oleh insan hebat di dalam hidup saya, yang membuatkan saya dapat menjayakan konsert ‘Dato’ Sri Siti Nurhaliza on Tour’ ini.

“Filem dokumentari ini juga untuk ditunjukkan pada masyarakat bahawa penyanyi bukannya sekadar menghiburkan tapi lebih daripada itu.

“Saya nak sangat masyarakat di luar sana lihat filem dokumentari saya sebagai satu yang memberikan inspirasi bukan saja pada anak-anak seni generasi muda tapi juga kepada wanita yang bergelar ibu,” katanya.

Justeru, Siti berasakan perjalanan itu adalah satu yang sangat istimewa buatnya yang sudah dua dekad menjadi anak seni.

Apa yang menarik, pengarah filem ini juga adalah peminat Siti.

“Saya tak sangka semua ini dapat difilemkan oleh peminat saya sendiri. Mereka sangat berpotensi dalam pengarahan dan saya doakan semoga selepas ini ada lagi anak seni yang boleh muncul dalam filem dokumentari. Sebab ia boleh menjadi satu daripada khazanah dan rujukan pada anak-anak muda yang mahu berjaya, Insya-Allah,” katanya.

Filem dokumentari, Siti Are You Ready? dan Konsert Dato’ Sri Siti Nurhaliza On Tour – Live In Concert boleh ditonton di saluran Astro First bermula 30 Disember ini.

Dengan hanya RM19.90, peminat boleh menonton kedua-dua filem dokumentari dan konsert selama 48 jam secara berulang-ulang.

Bagi mereka yang berada di luar Malaysia dan Brunei, boleh melanggan di platform Vimeo on Demand bermula 30 Disember depan dengan harga AS4.99 dan boleh menonton selama 48 jam secara berulang-ulang.

Leave a Reply