Harith Iskander mohon maaf persoalkan peranan ATM

Hebahkan !!!

 

Kuala Lumpur: Pelakon dan pelawak popular, Harith Iskander, 53, memohon maaf kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selepas tindakannya mempersoalkan peranan pasukan keselamatan itu dalam membantu mangsa banjir di beberapa lokasi di Selangor, baru-baru ini.

Harith berkata, kenyataannya yang dimuat naik di Twitter itu sudah menimbulkan salah faham banyak pihak dan dia memohon maaf atas tindakannya itu.

“Minta maaf kalau ‘tweet’ saya menyinggung perasaan. Untuk penjelasan, waktu itu saya berada di ‘ground zero’ dengan bot sendiri dan sempat menyelamatkan 12 orang yang terperangkap.

“Bomba, polis, Nadma (Agensi Pengurusan Bencana Negara) ada. Dengan ikhlas saya tanya mengenai ATM sebab pada waktu itu kekurangan anggota dan kenderaan,” kata Harith menerusi penjelasan di Instagram.

Harith berkata, ketika itu dia bertanya mengenai fungsi anggota ATM kerana pada ketika itu bilangan pasukan keselamatan membantu mangsa banjir masih kurang.

“Melihat semula apa yang saya luahkan ketika itu mungkin kurang jelas sehingga menimbulkan salah faham. Apa yang saya maksudkan ialah saya tak nampak anggota tentera pada waktu itu dan tempat saya turun padang di empat lokasi saja.

“Penduduk dan anggota bomba yang saya jumpa di sana pun mengesahkan kepada kami yang ATM belum sampai lagi pada waktu itu. Saya tidak sekali pun bertanya kenapa ATM tidak terbabit langsung atau pun berkata mereka tidak bertugas langsung.

“Ketika PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) sebelum ini, saya sudah banyak bekerjasama dengan ATM dari segi sumbangan dan juga membantu mangsa banjir di Kelantan tahun lalu,” katanya.

Harith berkata, dia memang amat menghormati ATM apatah lagi Allahyarham bapanya, Kolonel Musa Mohamed juga anggota ATM dan pernah bertugas ketika era pemberontakan pengganas komunis.

“Saya juga dibesarkan di Mindef (Kementerian Pertahanan). Dengan itu cuba fikirlah apa sebabnya saya hendak kutuk ATM?” katanya.

Terdahulu, Harith membuat kenyataan di Twitter mengatakan dia tidak melihat anggota ATM berada di kawasan yang terjejas seperti Shah Alam, Banting dan Hulu Langat ketika hari pertama banjir melanda.

Katanya, kenderaan Amphibia adalah kemudahan yang amat diperlukan dalam misi menyelamat mangsa banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam.

“Selama empat hari siang dan malam ‘on ground zero’ di Shah Alam, Banting, Hulu Langat, saya tak nampak pasukan ATM hadir. Adakah mereka hanya akan bertindak apabila bencana banjir ini diisytiharkan sebagai darurat? Kenderaan Amphibia tentera amat berguna untuk menyelamatkan nyawa di Taman Sri Muda,” katanya.

Leave a Reply