Datang Ke Selama, Lepas Geram Pancing Udang Galah Air Gunung

Hebahkan !!!
Pengusaha Kolam Pancing Udang Galah Klian Gunung, Yusni Dahalan menunjukkan udang galah ternakannya di Klian Gunung, Ijok, Selama di Perak. – FOTO MY-NEWS ONLINE.

SELAMA : Kalau sebut udang galah negeri Perak biasanya akan terbit dalam minda kerana di sana ada Bandar Udang Galah yang terkenal iaitu Teluk Intan.

Di daerah itu, ada juga replika tugu udang untuk menunjukkan bahawa bandar itu terkenal dengan hidangan udang galah serta Sungai Perak di sana juga terkenal sebagai port untuk pancing udang galah.

Selain Teluk Intan, Tanjung Tualang juga terkenal dengan penjualan udang galah di negeri Perak tetapi daerah itu agak kecil dan ia dikenali sebagai Pekan Udang Galah. Kebanyakan udang galah di kedua-dua tempat ini datangnya dari Sungai Perak.

Ada satu lagi lokasi di negeri Perak yang anda terlepas pandang dan ia bukan calang-calang tempat ternakan udang galah.

Lokasinya ialah di daerah Selama, juga di Perak. Ternakan udang galah sepit biru yang jadi buruan ramai berbeza sedikit di sini kerana ia diternak dalam kolam yang dialirkan air dari gunung yang membuatkan udang berkenaan amat istimewa.

Di sini lokasinya orang panggil Udang Galah Air Gunung. Ia terletak dalam kawasan Klian Gunung di Ijok, Selama Perak.

Tempat ini terletaknya Kolam Pancing Udang Galah Klian Gunung yang diusahakan oleh Yusni Dahalan.

Beliau adalah seorang usahawan bimbingan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPNP) untuk kategori Ternakan Udang Galah Kolam.

Yusni adalah salah satu Rakan Strategik Pelancongan Majlis Daerah Selama (RSP-MDS) yang mengusahakan kolam pancing udang galah air gunung di Kampung Klian Gunung, Mukim Hulu Ijok, Selama, Perak.

Antara inisiatif yang diusahakan MDS melalui Unit Pelancongan bagi membantu RSP-MDS adalah daripada segi promosi melalui semua saluran media rasmi MDS dan agensi kerajaan berkaitan serta turut dibantu melalui promosi melalui instafamous, youtubers, bloggers dan lain-lain.

Kolam ini terletak dekat dengan Lata Buluh yang juga merupakan satu daripada 7 destinasi mandi manda air terjun di daerah Selama, Perak.

Kalau tengok saiz dan rupa udang galah yang diternak menggunakan air gunung memang akan menerbitkan rasa geram. Geram nak pancing satu, geram nak beli satu.

Di sini, anda boleh datang ke Selama dan beli udang galah yang diternak oleh Yusni dengan harga RM75 sekilogram. Jangan takut, pembelian anda takkan berakhir dengan penyesalan.

Kalau anda kaki pancing, trip anda sampai ke Selama dan ke kolam pancing ini juga takkan menyesal kerana jika anda pakar, anda pasti takkan puas melabuhkan mata kail ke dalam kolam ini dan berentap dengan udang galah.

Jika anda hendak memancing harganya bermula dari 1 jam RM30 hingga 4 jam RM50. Duduklah di sana sampai anda puas memancing udang galah.

Ada masa Yusni akan mengadakan pertandingan di kolamnya dan jika berjaya, hadiah berupa hamper akan diberikan kepada mereka yang berjaya.

Leave a Reply