Cuaca Baik, KPKT Kerah Unit Udara Bomba Salur Bantuan Di Selangor

Hebahkan !!!

Keadaan cuaca yang baik selepas mendung dan hujan lebat sejak beberapa hari kebelakangan ini membolehkan Unit Udara Bomba dan Penyelamat Malaysia digerakkan untuk menyalurkan bantuan dan menyelamatkan mangsa banjir di Selangor.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang sejurus tiba dari pulau Langkawi terus menyertai pasukan berkenaan yang diketuai oleh Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad menyalurkan bantuan di Bandar Seri Ehsan, Kuala Langat.

Beliau berkata unit udara JBPM merupakan salah satu aset yang paling penting untuk digerakkan ke kawasan kritikal bagi melakukan operasi.

“Alhamdulillah, pelbagai barangan telah mula dapat dibawa masuk ke Bandar Seri Ehsan, Kuala Langat yang mempunyai kira-kira 2,500 orang penduduk.

“Pada ketika ini mereka terputus hubungan disebabkan kejadian banjir yang berlaku. Lebih menyukarkan, bekalan elektrik di sini turut terputus sejak tiga hari lalu,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya semalam.

Reezal Merican berkata pada waktu ini juga, JBPM telah dapat membawa bekalanan makanan hasil sumbangan daripada orang ramai namun masih tidak mencukupi.

Pihaknya juga membawa bekalan lampu suluh, bateri dan lilin selain keperluan makanan hasil sumbangan pelbagai pihak.

“Antara yang amat diperlukan di sini adalah petrol, genset, powerbank, lilin dan ubat nyamuk; selain daripada bekalan makanan asas,” katanya.

Difahamkan seramai 42 orang anggota bomba ditempatkan di Bandar Seri Ehsan bagi membolehkan operasi menyalurkan bantuan dapat berjalan lancar. Pasukan berkenaan turut dilengkapi lori, bot dan kenderaan utiliti bagi mengagihkan bantuan.

“Unit udara bomba juga telah diarahkan untuk meneruskan bantuan ke kawasan ini secara berkala dan kami juga sedang berusaha agar lebih banyak lagi bantuan dapat dibawa melalui jalan darat,” katanya.

Menurut beliau, pasukan kementerian dengan kerjasama dari pelbagai agensi kerajaan serta kumpulan sukarelawan akan terus memastikan setiap penduduk yang terkesan mendapat bantuan sepatutnya sehingga keadaan kembali seperti sedia kala.

 

Leave a Reply