Banjir : Keluar Rumah Tiada Apa-Apa Termasuk Duit Untuk Makan

Hebahkan !!!

Seorang wanita keluar rumah menyelamatkan diri daripada banjir di rumahnya di Dengkil tanpa membawa apa-apa dan tiada wang biarpun RM10 untuk makan.

Itulah keadaan yang terpaksa dihadapi oleh Hotijah Hadrawi, 45 tahun, yang menetap di Kampung Sri Tanjung di Dengkil.

Selama tiga hari bencana banjir itu berlaku, dia dan suami Sumbre Ali, 50 tahun, terpaksa menebalkan muka untuk meminta makanan di surau atau masjid terdekat.

“Kejadian banjir itu berlaku terlalu cepat, kami hanya sempat menyelamatkan diri dan tidak membawa apa-apa. Baju yang dipakai ini pun sudah tiga hari kami pakai. Mujurlah ada individu yang baik hati datang kepada kami dan memberikan sehelai baju lain untuk dibuat ganti.

“Tetapi untuk makan kami terpaksa ikat perut dan tebalkan muka untuk minta kepada orang lain. Jika ada makanan, kami makan. Jika tiada, kami berusaha hari lain pula, tetapi selalunya ada makanan lebihan di masjid,” katanya yang sudah 12 tahun bekerja di negara ini.

Hotijah berkata, setiap hari, dia datang bersama suaminya untuk melihat keadaan rumah, namun air hanya surut sedikit sahaja, tetapi dia masih tidak berani untuk meredah kerana takutkan adanya arus elektrik.

“Saya baru sebulan menetap di rumah ini, sebelum ini duduk di kampung berdekatan, namun tahun lalu rumah berkenaan turut banjir. Jadi kami pindah ke sini kerana difahamkan sini tidak kena banjir.

“Namun, mungkin sudah ditakdirkan bila kami menetap di sini, inilah pertama kali berlaku banjir di kawasan ini. Keadaan masa itu sangat kelam kabut, kami cepat-cepat keluar rumah kerana kawasan ini berhadapan dengan sungai. Risau berlaku apa-apa yang tidak diingini, kami terus keluar dari rumah, apa yang saya fikir ketika itu cuma nyawa saya dan suami,” katanya.

Sementara itu, Shafry Md Yunos, 52, yang juga pemilik rumah yang disewa oleh Hotijah itu berkata, kejadian ini sekali gus menjejaskan sumber pendapatannya.

“Bukan sahaja rumah saya terjejas banjir, tetapi lima lagi rumah sewa saya juga mengalami nasib sama. Sudah 40 tahun saya menetap di sini, inilah bencana paling teruk saya pernah alami.

“Selalunya kalau banjir di Dengkil ini, kawasan kami selamat. Cuma kali ini nasib malang menimpa kami, tiada apa yang mampu selamatkan pada masa kejadian. Saya ada letakkan segala dokumen yang dibalut dengan plastik dan diletakkan di tempat tinggi dalam rumah, harapnya masih selamat,” katanya.

Leave a Reply