UMNO Kedah zahir sokongan kepada Ismail Sabri

Hebahkan !!!

YAN – UMNO Kedah menetapkan pendirian terus menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk memimpin negara sehingga berakhir penggal Parlimen pada tahun 2023.

Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, pelantikan Ismail Sabri merupakan isyarat daripada masyarakat bahawa pemimpin UMNO boleh diharapkan menerajui kepimpinan negara.

Jamil Khir turut memberitahu, terbukti selepas pelantikan Ismail Sabri politik negara kembali tenang selain merekodkan beberapa kejayaan terutama dalam menghadapi pandemik Covid-19.

“Ia satu isyarat dan konsensus yang tidak diceritakan dalam mesyuarat tetapi ramai mengetahui apabila keadaan tenang selepas pelantikan itu.

“Dalam tempoh 100 hari kepimpinan beliau merakamkan beberapa kejayaan terutama melandaikan keluk jangkitan Covid-19 selain pelbagai usaha ekonomi baharu sedang dipergiatkan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jerai di Dewan Serbaguna Guar Chempedak di sini pada Sabtu.

Menurutnya, aspirasi Keluarga Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri itu juga mendekatkan kepimpinan beliau dengan rakyat.

“Keluarga Malaysia menjadi satu ‘tagline’ yang saya fikir tidak banyak perbincangan mengenai aspirasi berkenaan.

“Beliau dapat mengeluarkan idea berkenaan secara spontan dan ia diterima umum. Keluarga Malaysia melibatkan semua kaum di negara ini,” katanya.

Pada Jumaat, Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Ketereh sebulat suara meluluskan usul memberi sokongan penuh kepada Ismail Sabri dan usaha beliau memulihkan kembali negara dari aspek ekonomi, keselamatan rakyat, politik dan sosial.

Timbalan Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Ketereh, Mat Riffin Said membaca usul tersebut dalam mesyuarat yang dirasmikan Ketua UMNO Bahagian Ketereh yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Leave a Reply