1MDB: Muhammad Shafee dakwa hakim tertekan

Hebahkan !!!

SHAH ALAM – Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mendakwa Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah yang menguruskan kes membabitkan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) tertekan sehingga menolak permohonan pihak pendakwaan untuk menjalankan kes berkenaan secara hibrid.

Ujar beliau, tekanan tersebut dipercayai kerana perbicaraan kes berkenaan sering ditangguhkan berikutan pandemik Covid-19.

“Dari segi Covid-19 sahaja saya rasa ada dua atau tiga kali beliau terpaksa menangguhkannya.

“Jadi, ada tekanan kepada beliau. Mungkin tekanan ini juga disebabkan kes Syarikat SRC International Sdn Bhd sudah pun naik ke peringkat rayuan dan rayuan pun habis.

“Jadi, mungkin beliau tertekan untuk menjalankan kes ini dengan seberapa cepat yang boleh,” katanya pada sidang media secara dalam talian pada Jumaat.

Pada Isnin, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib memohon supaya perbicaraan kes itu dijalankan secara hibrid berikutan perubahan sebanyak dua kali pada status MySejahtera bekas Perdana Menteri itu dan peguamnya.

Pada Selasa, Mahkamah Tinggi menolak permohonan pihak pendakwaan untuk kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membabitkan 1MDB dijalankan secara hibrid.

Bagaimanapun, Collin tidak menolak kemungkinan kes itu boleh diadakan secara hibrid pada masa hadapan.

Mengulas lanjut, Muhammad Shafee berkata, sebagai hakim, Collin tidak boleh melarang jika perbicaraan kes dijalankan secara hibrid kerana ia seolah-olah mengabaikan arahan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kalau kita lihat daripada apa yang tercatat dalam seksyen 15A, ia sendiri mengatakan bila kita mengguna pakai perbicaraan secara hibrid dan sebagainya, ia mestilah dengan kepentingan keadilan.

“Jadi, soalan sama ada hakim boleh mengabaikan atau tidak, jawapan saya hakim tidak boleh mengabaikkan larangan ataupun arahan KKM,” ujarnya.

Leave a Reply