Kerana Terima Rawatan Dijangkiti COVID-19, Baru Dapat Kesan Menghidap Barah

Hebahkan !!!

LONDON: Jika dia tidak dijangkiti Covid-19, mungkin nyawa kanak-kanak United Kingdom ini berada dalam keadaan lebih bahaya.

Ibu bapa kanak-kanak itu, dari Evesham, Worcestershire percaya bahawa anak mereka, Josh Asbury, 9, terselamat kerana dijangkiti virus berbahaya itu.

Ia selepas kanak-kanak itu dikesan menghidap kanser ketika menjalani pemeriksaan lanjut selepas dijangkiti Covid-19.

Bapanya, Andy Asbury, 30, berkata, ada kemungkinan jangkitan Covid-19 menyebabkan barah dihadapi anaknya dapat dikesan dengan lebih awal.

“Paru-parunya bermasalah, adakah ia disebabkan Covid-19?

“Kami tidak tahu, tetapi kalau bukan kerana virus ini sudah tentu kami tidak tahu anak kami ada barah ini,” katanya dalam portal Mirror.

Menurutnya, penyakit itu diketahui selepas doktor memeriksa Josh, September lalu apabila anaknya itu keletihan dan kurang selera makan selepas dijangkiti Covid-19.

“Doktor memberitahu mungkin dia hanya alami kesan sampingan virus itu. Namun, mereka kembali berjumpa doktor selepas dia mengadu sakit pada bahagian tulang belakang.

“Pemeriksaan lanjut mendapati ada gelembung udara dalam paru-parunya dan dia dihantar menjalani X-ray sebelum kesihatannya semakin merosot dan sukar bernafas pada November,” katanya.

Katanya, doktor di Hospital Kanak-Kanak Birmingham menjalankan pembedahan bagi membetulkan masalah pada paru-parunya, namun mereka menemui satu ketumbuhan luar biasa.

“Sukar untuk terima apabila doktor mengesahkan Josh mempunyai leukemia atau barah limfoma.

“Josh mula menjalani kemoterapi pada 20 November dengan rawatan dijangka berlangsung selama tiga tahun setengah,” katanya.

 

Leave a Reply