TMJ patut saman Patrick Teoh, bukan libatkan polis, kata Dr M

Hebahkan !!!

PETALING JAYA: Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, sepatutnya menfailkan saman terhadap Patrick Teoh, sekiranya baginda percaya penyampai radio popular itu menghinanya, kata Dr Mahathir Mohamad dalam buku terbaharunya.

Mengenang kembali peristiwa 2020 itu, bekas Perdana Menteri itu berpandangan ia tidak sepatutnya menjadi kes jenayah.

Dalam buku “Capturing Hope: The Struggle Continues for a New Malaysia”, Mahathir menulis rakyat tidak boleh mengutuk Raja-Raja Melayu, namun undang-undang sama tidak mengangkat seorang Putera Mahkota ke kedudukan setinggi itu.

Malah, katanya, Tunku Mahkota Johor seharusnya sudah menjangka akan dikritik sekiranya terlibat dalam politik dan membuat kenyataan politik.

Namun Teoh dituduh menghina TMJ selepas memberikan komen secara terbuka, kata Mahathir.

Baginya, perkara itu bukanlah suatu jenayah dan sepatutnya penyampai radio itu disaman sekiranya TMJ rasa dihina.

Katanya, Teoh tidak patut ditahan dan direman atas perbuatannya itu.

Polis pada 2020 menahan Teoh selepas beliau didakwa memuat naik kenyataan jelik di media sosial ketika berkongsi video TMJ.

Teoh kemudian dituduh memuat kenyataan dengan niat menyakitkan hati mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia, dan dibebaskan dengan ikat jamin.

Perkembangan terakhir yang dilaporkan media adalah Mahkamah Sesyen menetapkan 7 Sept 2020 untuk pengurusan kes.

Leave a Reply