Binaan Belon Istana Meletup, Ragut Nyawa Empat Kanak-Kanak

Hebahkan !!!
Pegawai penyelamat Tasmania memeriksa tapak belon istana meletup yang mengorbankan empat kanak-kanak.

SYDNEY: Australia dikejutkan dengan insiden empat kanak-kanak maut dan beberapa lagi cedera parah selepas mereka melambung 10 meter ke udara apabila permainan belon istana meletup di Tasmania, hari ini.

Polis berkata, insiden berlaku ketika murid sebuah sekolah rendah di utara Tasmania sedang bergembira meraikan minggu terakhir persekolahan sebelum cuti Krismas.

“Ia sesuatu yang tragis, saya mengesahkan dua kanak-kanak meninggal dunia. Apa yang berlaku ini sangat pedih dan menyedihkan,” kata Komander Polis Tasmania, Debbie Williams.

Beberapa helikopter penyelamat dan ambulans dihantar ke tempat kejadian manakala media tempatan turut memaparkan pegawai polis dilihat menangis di lokasi.

Perdana Menteri, Scott Morrison berkata, insiden itu ‘sangat menyedihkan’, di luar jangkaan dan menyayat hati.

“Kegembiraan dan keseronokan anak kecil bersama keluarga mereka, kemudian bertukar kepada tragedi yang begitu ngeri, akhir tahun ini, ia sangat ‘menghancurkan jiwa’.

“Saya hanya mampu berdoa semoga anda mempunyai keluarga yang terbaik dan kawan yang hebat walaupun anda terpaksa melalui tragedi ngeri ini,” katanya.

Pihak sekolah menjemput ibu bapa menjadi sukarelawan dalam acara itu yang menyediakan zon permainan basah, gelungsur, kawasan seni dan kraf serta belon istana.

“Pesta ini dianjurkan bagi meraikan kejayaan sepanjang tahun dan menikmati beberapa aktiviti menyeronokkan dengan rakan sekelas,” kata sekolah Hillcrest Primary, dalam hantaran di Facebooknya.

Leave a Reply