Switzerland Luluskan Penggunaan Mesin Khas Untuk Bunuh Diri

Hebahkan !!!

Pihak berkuasa di Switzerland telah meluluskan penggunaan sebuah kapsul yang berbentuk seperti keranda iaitu sebuah mesin untuk membunuh diri.

Mesin yang diberi nama Sarco yang boleh digunakan dari dalam berfungsi untuk mengurangkan paras oksigen di dalam pod sehingga ke paras kritikal.

Proses itu dikatakan mengambil masa kurang seminit dan kematian berlaku melalui hypoxia dan hypocapnia untuk membolehkan individu menikmati kematian tenang, tanpa kesakitan.

Bunuh diri dengan bantuan peralatan adalah sah di Switzerland dan kira-kira 1,300 orang menggunakan prosedur eutanasia daripada perkhidmatan organisasi Dignitas dan Exit International tahun lalu.

Sarco, singkatan untuk Sarcophagus direka khas bagi memudahkan ia bergerak ke tempat diinginkan pengguna dan kapsul daripada bahan terbiodegrasikan boleh ditanggalkan untuk berfungsi sebagai keranda.

Pencipta pod itu, Dr Philip Nitschke yang mendapat jolokan Dr Kematian menerima tentangan daripada pihak antieutanasia, sebahagiannya kerana kaedah yang digunakan.

“Gas mungkin tidak diterima sebagai kaedah membantu orang membunuh diri di Eropah susulan konotasi negatif Holocaust,” katanya dalam temubual dengan Independent sebelum ini.

Penciptaan mesin itu juga menerima kritikan kerana reka bentuk futuristiknya yang dianggap sesetengah pihak sebagai kaedah membunuh diri glamor, selain virtual realiti (VR) yang membolehkan orang ramai ‘menikmati kematian maya mereka sendiri’.

Pengalaman VR itu dipaparkan di gereja Westerkerk di Amsterdam pada Ekspo Pengebumian sebelum ini yang menimbulkan kebimbangan kepada lembaga gereja.

“Westerkerk tidak akan sekali-kali menyokong orang ramai dengan menawarkan peralatan seperti yang dipromosikan Dr Nitschke dan kami tertanya-tanya sama ada ini menyumbang kepada perbincangan lanjut isu ini.

“Kami tidak akan dan tidak boleh menyokong sebarang cadangan penggunaan alatan ini,” kata Presiden Lembaga Gereja Westerkerk, Jeroen Kramer.

Hanya dua prototaip Sarco yang wujud ketika ini tetapi Exit International sedang mencipta mesin ketiga yang diharap dapat beroperasi di Switzerland.

Leave a Reply