Pembida Yang Berjaya Dalam Lelongan Barangan Sajat Hilangkan Diri

Hebahkan !!!
Peguam, Zeti Zulkifli (kiri) pada sidang akhbar selepas proses lelongan aset Muhammad Sajjad.

KUALA LUMPUR: Pembida yang menghilangkan diri selepas berjaya dalam bidaan harta Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Sajat dikatakan pembantu peribadi kepada usahawan kosmetik terkenal bergelar Datuk Seri.

Peguam Nurul Hafidzah Hassan berkata, perkara itu sudah disahkan oleh usahawan berkenaan.

“Namanya Mohammad Syazwan Ahmad Fiesol. Saya tidak tahu dia siapa, tapi dalam Facebook ada beritahu (pembida ada kaitan dengan usahawan kosmetik).

“Malah usahawan itu sendiri cakap yang lelaki itu adalah pembantu peribadinya,” katanya dalam laporan portal Harian Metro hari ini.

Nurul Hafidzah berkata, tindakan pembida terbabit mempermainkan proses lelongan adalah sama seperti menghina dan mempermainkan arahan mahkamah.

Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan untuk menentukan tindakan lanjut yang boleh diambil terhadap pembida itu.

“Kami belum putuskan nak buat apa. Baru nak berbincang dan fikirkan apa tindakan lanjut,” katanya.

Semalam, Mohammad Syazwan berjaya membida barangan di kediaman Sajat berjumlah RM132,000 daripada keseluruhan lapan pembida yang mengambil bahagian dalam proses lelongan awam berkenaan.

Antara barangan termahal yang dilelong adalah piano bernilai RM40,000 dan termurah adalah set pembakar roti selain beberapa barangan lain iaitu sofa, penghawa dingin, mesin basuh, peti sejuk, almari pakaian, set bilik tidur dan televisyen.

Bagaimanapun, lelaki itu dikatakan menghilangkan diri apabila tidak dapat dihubungi oleh pihak peguam selepas keluar dengan memberikan alasan untuk membuat bank draf.

Justeru, proses lelongan itu dikira terbatal berikutan kegagalan lelaki itu membuat bayaran selepas jam 4.10 petang.

Sehubungan itu, satu tarikh lelongan baru akan dikemukakan oleh firma guaman NHA Advocates & Solicitors di mahkamah bagi membolehkan bayaran Sajat kepada bekas stokis utama perniagaan bengkung dan girdle miliknya, OWA Resourses Sdn Bhd, dapat diselesaikan.

Mahkamah Tinggi Shah Alam bulan lalu membenarkan harta Sajat disita dan dilelong susulan gagal membayar pampasan kepada OWA Resources.

Mahkamah membenarkan permohonan pihak plaintif menuntut pampasan RM183,000 yang gagal dibayar oleh Sajat melalui proses penyitaan itu.

Leave a Reply