Indonesia di Gegarkan dengan Gempa Bumi

Hebahkan !!!

SELEPAS letupan Gunung Berapi Semeru menggoncang Indonesia, negara itu sekali lagi digegarkan dengan malapetaka, kali ini oleh gempa bumi kuat berukuran 7.6 skala Richter yang melanda timur Indonesia pada Selasa.

Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) yang mengesan gegeran tersebut berkata, gempa itu berlaku pada kedalaman 76 kilometer pada kedalaman 18.7 kilometer di Laut Flores.

Kenyataan agensi tersebut juga memaklumkan, pusat gempa terletak di utara Pulau Flores di wilayah Nusa Tenggara Timur yang mana gempa itu mencetuskan ketakutan selepas melanda pada 10.20 pagi (11.20 pagi waktu Malaysia).

Bagaimanapun, nasib penduduk dikawasan terjejas agak baik kerana tiada kerosakan teruk atau kematian dilaporkan dari kawasan di mana gempa itu dirasai, tetapi pihak berkuasa menggesa penduduk mengambil langkah berhati-hati.

Sementara itu, Pusat Amaran Tsunami Pasifik pula menyatakan, gempa bumi itu boleh mencetuskan ombak tsunami yang berbahaya.

Menurut Pusat Amaran Tsunami Pasifik gempa itu tidak lagi menimbulkan ancaman tsunami selepas memberi amaran awal bahawa ombak seperti itu mungkin berlaku dalam radius 1,000 km dari pusat gempa.

Indonesia sering mengalami gempa bumi dan letusan gunung berapi kerana kedudukannya di Lingkaran Api Pasifik.

Antara rentetan gempa yang membawa maut di Indonesia ialah gegaran bermagnitud 9.1 pada 2004 yang melanda pantai Sumatera dan mencetuskan tsunami yang mengorbankan 220,000 di seluruh rantau ini, termasuk kira-kira 170,000 di Indonesia.

Pada 2018, gempa bumi kuat menggegarkan pulau Lombok dan beberapa lagi gegaran menyusul dalam beberapa minggu selepas itu mengorbankan lebih 550 orang di pulau percutian dan Sumbawa yang berjiran.

Pada akhir tahun itu, gempa bumi 7.5 magnitud dan tsunami berikutnya di Palu di pulau Sulawesi menyebabkan lebih 4,300 orang terkorban atau hilang. — Bebasnews

Leave a Reply