Ibu Kandung Kepada Anak Yang Mati Jatuh Kondominium Didakwa Cuai

Hebahkan !!!

SELAYANG: Ibu kandung budak lelaki berusia lima tahun yang maut selepas terjatuh dari tingkat 16 sebuah kondominium di Batu Caves pada 17 November lalu, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan mengabaikan mangsa.

Tertuduh berusia 24 tahun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim, Nor Rajiah Mat Zin.

Terdahulu, tertuduh dilihat hadir ke mahkamah berjubah hitam dan mengenakan tudung biru.

Berdasarkan kertas pertuduhan, wanita itu didakwa mengabaikan anaknya dengan menyebabkan kecederaan fizikal pada badan mangsa di Pangsapuri Magna Villa, Jalan Lebuhraya Selayang Kepong, di sini, antara jam 9.45 hingga 10.48 pagi, pada 17 November lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shasha Hidayah Nor Azahar, menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh dan syarat tambahan yang dirasakan sesuai oleh mahkamah.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam bela, dalam rayuannya memberitahu mahkamah dia tidak mampu membayar apa-apa kerana hanya seorang suri rumah dan tidak bekerja.

Sambil menangis tertuduh berkata, dia masih mempunyai seorang lagi anak kecil berusia empat tahun dan suaminya hanya bekerja sebagai penghantar dengan gaji kurang daripada RM2,000.

“Keadaan kesihatan saya masih tidak stabil selepas kehilangan arwah anak saya,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis pada setiap bulan dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan dalam kes itu.

Mahkamah kemudian menetapkan 13 Januari depan untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini media melaporkan, dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi, ibu mangsa dikatakan tiada di rumah kerana keluar atas satu urusan dan mangsa ditinggalkan bersama adik lelaki yang berusia empat tahun bersama ibu saudara berusia 36 tahun.

Siasatan polis mendapati mendapati mangsa dipercayai bermain dan memanjat sebuah katil yang terletak di tepi tingkap.

Leave a Reply