Tindakan mahkamah terhadap Najib lebih baik daripada RCI 1MDB, kata peguam

Hebahkan !!!

PETALING JAYA: Penubuhan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat skandal 1MDB akan membuang masa dan dana awam, walaupun ia diadakan selepas Pakatan Harapan berkuasa pada 2018, kata seorang peguam.

A Srimurugan berkata kuasa siasatan akan berdasarkan terma dan rujukan ditetapkan kerajaan dan hanya boleh menyiasat dengan memanggil saksi, menyerahkannya kepada agensi penyiasatan dan Peguam Negara untuk bertindak mengikut syor yang dibuat kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Ia akan membazir masa dan dana awam, sekiranya polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kemudiannya perlu melakukan siasatan susulan sebelum Peguam Negara memutuskan pendakwaan.”

Keputusan untuk mendakwa bekas Perdana Menteri, Najib Razak di mahkamah adalah pilihan lebih baik, katanya.

Seorang lagi peguam, Syed Iskandar Syed Jaafar al-Mahdzar berkata siasatan 1MDB akan sama seperti mengadakan “inkues tidak bermakna” dan tidak perlu kerana terdapat bukti mencukupi untuk mendakwa mereka yang terlibat, dan juga berdasarkan prosiding sivil yang dimulakan di luar Malaysia untuk menghantar pulang dana didakwa dicuri daripada 1MDB.

Srimurugan menegaskan tiada individu yang didakwa apabila siasatan terhadap skandal penetapan hakim kira-kira 20 tahun lalu melibatkan beberapa orang.

Satu laporan oleh inkuiri lain, ke atas kem pemerdagangan manusia dan kubur besar di Wang Kelian, juga tidak didedahkan kepada umum selepas prosiding selama 17 hari melibatkan 48 saksi.

“Bukti yang tidak boleh diterima juga boleh dikemukakan dalam RCI dan ini mungkin tidak adil kepada mereka yang terlibat,” katanya.

Peguam itu menjawab kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Puad Zarkashi bahawa PH telah berjanji akan memulakan RCI ke atas skandal 1MDB, tetapi gagal mengotakan janji untuk melaksanakannya dalam tempoh 100 hari selepas berkuasa pada Mei 2018.

Puad menuduh penasihat DAP, Lim Kit Siang hipokrit kerana bersikap selektif dalam menggesa siasatan 1MDB, tetapi mengabaikan dakwaan serius lain melibatkan pemimpin terkemuka.

Najib berdepan 25 tuduhan penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram berhubung dakwaan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan ke akaun banknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.

Leave a Reply