UMNO tidak merajuk dengan Pas: Tok Mat

Hebahkan !!!

SEREMBAN – Hubungan UMNO dengan Pas menerusi Muafakat Nasional (MN) masih berjalan seperti biasa.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ideologi UMNO dan Pas sememangnya adalah berbeza, namun titik persefahaman dicari menerusi perjuangan dalam MN.

“Buat masa ini tiada rundingan secara serius berkaitan MN, sehinggalah nanti jika salah satu pihak memutuskan tidak akan bersama.

“Tetapi setakat ini, UMNO tidak memutuskan apa-apa hubungan begitu juga dengan Pas. Jadi, hubungan kita macam biasa, ” katanya yang lebih dikenali sebagai Tok Mat.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Rembau Tahun 2021 di sebuah hotel di sini, pada Ahad.

Hadir sama, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Selain itu katanya, UMNO juga tidak pernah menidakkan peranan Pas dalam MN.

“Kami (UMNO) tidak merajuk tiada apa pun, Pas punya pendirian dalam MN begitu juga UMNO. MN bukan satu parti yang didaftarkan, tiada ikatan perjanjian sebaliknya satu persefahaman supaya kita orang Melayu dan Islam tidak berpecah bukan sahaja dalam politik tetapi juga hal lain.

“Ini asasnya, ramai yang tidak faham, ada kalanya sesuatu perkara UMNO berpendirian begitu Pas begini, jadi tidak timbul isu kita tidak memaksa,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Rembau berkata, semua UMNO negeri telah diarahkan untuk menubuhkan Jawatankuasa Disiplin bagi memantau urusan pentadbiran dan lain-lain.

“Semasa musim pemilihan nanti, macam-macam perkara, aduan-aduan mesti kita selesaikan dahulu sebelum kita adakan mesyuarat perwakilan bahagian.

“Itu sebab kita telah arahkan semua negeri-negeri menubuhkan Jawatankuasa Disiplin masing-masing supaya di peringkat UMNO negeri boleh menguruskan masalah-masalah yang tidak bersangkut paut dengan keahlian,” katanya.

Leave a Reply